ROHANA (depan) dan Hoi Lan. FOTO Amirudin Sahib
ROHANA (depan) dan Hoi Lan. FOTO Amirudin Sahib
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Rezeki Rohana Abdullah, 22, terus mencurah-curah apabila dua universiti awam (UA) bersedia menawarkan peluang untuk dia melanjutkan pengajian.

Berkongsi berita gembira itu kepada Harian Metro, Rohana berkata, dia dihubungi pengurusan universiti berkenaan selepas kisahnya disiarkan Harian Metro sejak Jumaat lalu.

Katanya, kini semuanya bergantung kepada status kerakyatan dirinya yang difahamkan masih lagi dalam semakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Saya bersyukur apabila dimaklumkan ada universiti yang sedang mempertimbangkan tawaran kepada saya untuk melanjutkan pengajian.

"Itu impian saya sejak kecil dan kerana itu, saya mengambil inisiatif sendiri menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara persendirian pada 2017, semata-mata ingin mencapai cita-cita sebagai doktor," katanya ditemui hari ini.

Menurut Rohana, dia menangis kegembiraan mendengar berita itu kerana tidak menyangka sebahagian daripada doanya kini seperti 'ada cahaya di hujung terowong'.

Katanya, dia berminat untuk mengambil jurusan dalam aliran sains dan akan belajar bersungguh-sungguh untuk mengejar impiannya.

"Dalam beberapa hari ini, saya seperti tidak percaya apabila kisah hidup saya mendapat perhatian banyak pihak sehingga ke kepimpinan negara.

"Apapun, saya bersyukur dan berharap semua urusan saya dan Laoshi dipermudahkan," katanya.

Kisah hidup Rohana disiarkan secara bersiri oleh Harian Metro sejak 14 Januari lalu dan mendapat perhatian termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kemurnian hati Chee Hoi Lan, 83, menjaga Rohana sejak berusia dua bulan menimbulkan rasa kagum banyak pihak yang mendoakan kebaikan untuk kedua-duanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 3:32 PM