DR Zaliha Mustafa. FOTO Rohanis Shukri
DR Zaliha Mustafa. FOTO Rohanis Shukri
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Malaysia akan membangunkan mekanisme pengurusan pelarian dan pemohon suaka sendiri tanpa bergantung kepada entiti asing, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, mekanisme ini akan memberikan penekanan terhadap perancangan dan usaha kerajaan untuk mengukuhkan peranan dalam pengurusan pelarian serta pemohon suaka melalui empat kluster penambahbaikan utama.

Katanya empat kluster itu ialah mekanisme pengurusan pelarian dan pemohon suaka, penentuan status pelarian, penguatkuasaan undang-undang kepada pelarian dan pemohon suaka serta sistem sokongan sosial.

"Kerajaan menghormati mandat penubuhan, fungsi dan peranan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) seperti mana yang diperuntukkan di bawah Resolusi 319 (IV) Perhimpunan Agung PBB (1949) dan Resolusi 428 (V) Perhimpunan Agung PBB (1950).

"Namun, perlu diingatkan Malaysia bukannya negara ahli kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 (Konvensyen 1951) dan Protokol Mengenai Status Pelarian 1967 (Protokol 1967).

"Bagaimanapun, atas prinsip nilai kemanusiaan, kerajaan membenarkan golongan ini untuk berada buat sementara waktu di dalam negara sebelum ditempatkan semula ke negara ketiga atau pulang ke negara asal," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang inginkan penjelasan berhubung panduan, peraturan serta perancangan kerajaan untuk mengawal pelarian UNHCR Rohingya dan peranan UNHCR dalam menguruskan pelarian di Malaysia.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, kerajaan amat mengambil berat terhadap kegusaran rakyat berikutan kehadiran serta aktiviti yang dijalankan oleh segelintir golongan pelarian dan pemohon suaka ini.

"Yang sebahagiannya berbeza dengan norma kehidupan, sensitiviti dan budaya setempat, justeru mungkin menjejaskan keharmonian rakyat tempatan.

"Sehubungan dengan itu, kerajaan menyeru supaya pihak UNHCR turut berkongsi peranan dalam menguruskan pelarian dan pemohon suaka yang berada di dalam negara selaras dengan mandat dan fungsi penubuhannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 11:28 AM