SITI Nor Syakila bersama arwah suami, Kapten Muhamad Syahiran. FOTO Ihsan pembaca.
SITI Nor Syakila bersama arwah suami, Kapten Muhamad Syahiran. FOTO Ihsan pembaca.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Takdir kehilangan suami tersayang ketika teruja menanti kelahiran anak pertama yang ditunggu selama tiga tahun bukan mudah diterima anggota bomba wanita ini.

Siti Nor Syakila Mat Isa, 30, yang juga anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kehilangan suami, Kapten Muhamad Syahiran Mohd Shaufi, 27, yang meninggal dunia selepas 13 hari bertarung nyawa pada 3 Mac lalu.

Muhamad Syahiran yang juga pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bertugas di sebuah kem di Kuala Lumpur, parah selepas motosikal ditungganginya kemalangan dengan sebuah lori di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), 19 Februari lalu.

Kisah Siti Nor Syakila yang kini sedang hamil enam bulan dan bertugas di Akademi Bomba Kuala Kubu Bharu, Selangor itu mendapat perhatian selepas dia berkongsi videonya di TikTok.

Menurutnya, dia mahu berdamai dengan takdir biarpun hakikat kehilangan suami yang belum sempat melihat wajah anak mereka perit ditelan, demi membesarkan amanah ditinggalkan suami.

Katanya, suaminya terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kursus di Kuantan, Pahang dan baru sejam meninggalkan rumah mereka di perumahan bomba tempatnya bertugas.

"Suami sedang mengikuti kursus sejak Januari lalu hingga Mei ini dan selepas mengetahui saya hamil anak pertama kami, dia seperti berat hati mahu pergi ke sana kerana bimbangkan saya di rumah.

"Tetapi demi tugasnya dia pergi juga dan setiap hujung minggu akan pulang bertemu saya serta membuat persiapan anak dan berpantang saya sejak usia kandungan tiga bulan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Wanita itu berkata, pada hari kejadian, sebelum pulang ke Kuantan, suami meminta menyuapnya makan dan mereka sempat solat Asar berjemaah.

"Tetapi tak sangka sejam selepas suami bergerak pulang saya dapat panggilan daripada pegawainya yang memaklumkan kejadian menimpanya.

"Selepas 12 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan menjalani pembedahan suami pergi tinggalkan kami, saya rasa separuh nyawa saya pergi.. Saya reda dengan takdir ini biarpun hakikat itu sangat perit untuk diterima," katanya dijangka melahirkan, Ogos ini.

Siti Nor Syakila berkata, tarikh suaminya meninggal dunia juga adalah tarikh pemakaian pangkat Kapten untuk Mohd Syahiran yang sebelum ini memakai pangkat Leftenan sejak ditauliahkan.

"Suami seronok sangat selepas lulus ujian untuk kenaikan pangkat dan dia cakap ini rezeki anak kami. Dia memang sangat teruja terutama apabila saya disahkan hamil, malah dia sudah berhasrat mahu menghantar anak kami belajar di tahfiz dan mahu namanya ada pangkal 'Sya' juga seperti kami.

"Sepanjang tiga tahun hidup berdua, suami sangat baik melayani saya dan selalu memberi semangat biarpun kami masih belum ada rezeki zuriat sendiri ketika itu, setiap kata-katanya menyenangkan hati saya yang kerap ditanya mengenai anak.

"Dia memang suami, anak, menantu, rakan dan anggota yang komited, baik dan disenangi ramai selain suka membantu dan bersedekah, malah ketika pengebumiannya juga ramai yang datang dan ceritakan kebaikannya pada saya," katanya

Menurut Siti Nor Syakila, menjelang Aidilfitri esok dia masih belum membuat persiapan untuk dirinya kerana baginya kemeriahan Hari Raya sudah tidak dirasai seperti tahun sebelum ini tanpa kehadiran suami tersayang.

"Hari ini hari ke-52 suami 'pulang' ke negeri abadi dan saya selalu fikir Allah SWT ambil suami tetapi Dia hadirkan anak kami sebagai peneman saya dan kenangan suami ," katanya akan membesarkan anak dengan baik seperti diinginkan suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 4:08 PM