Mohd Zawari keluar dari mahkamah selepas menerima hukuman. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali.
Mohd Zawari keluar dari mahkamah selepas menerima hukuman. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


PADAH memiliki sebilah pisau ‘rambo’, Julai tahun lalu, seorang buruh dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Zawari Mustaffa, 36, mengaku bersalah terhadap tuduhan.

Mahkamah mengarahkan hukuman bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 24 Julai 2018.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah pisau rambo berukuran 38 sentimeter berhulu hitam, tanpa maksud yang sah dan kebenaran pihak berkuasa di kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Pauh Lima, Melor, Kota Bharu pada 12.45 tengah hari, 24 Julai 2018.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman ringan bermula tarikh ditangkap kerana dia insaf dan tidak akan mengulanginya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 2:43 PM