Shuhada memuat naik di media sosial keadaan kecederaan dialami.
Shuhada memuat naik di media sosial keadaan kecederaan dialami.
Ramlah Zainal

 

Kuala Lumpur: Isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi, 29, Nurul Shuhada Mat Shukri mendapatkan rawatan di hospital dipercayai kerana dipukul.

Ia susulan Shuhada memuat naik hantaran dipercayai berkaitan kecederaan dialaminya.

Menerusi beberapa hantaran berasingan dimuat naik dalam Instagram (IG) Story, Nurul Shuhada memaklumkan, dia menerima rawatan di hospital.

Gambar dimuat naik menunjukkan ibu kepada dua cahaya mata itu mengalami kecederaan pada wajah kiri yang didapati berbalut.

Menerusi hantaran lain yang memuat naik gambar tangan menggenggam penumbuk dan berdarah, Nurul Shuhada menulis, "Semoga Allah ampunkan kau berdua."

Sementara itu, ahli keluarganya yang enggan nama disiarkan mengesahkan Shuhada menjadi mangsa pukul.

"Ya, itu adalah Shuhada. Kejadian berlaku pada awal pagi. Mulanya berlaku pertengkaran dan dia ditumbuk tiga kali di muka," katanya kepada Harian Metro.

Menurut sumber itu, Shuhada dibawa ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan termasuk pemeriksaan CT scan. 

"Selepas kejadian kami buat laporan polis dan bawa Shuhada ke hospital. Dia terpaksa menerima jahitan akibat luka pada muka. 

"Kami juga melakukan pemeriksaan CT scan bagi memastikan tiada sebarang kecederaan dalaman.

"Shuhada juga sudah dibenarkan pulang dan tidak ditahan wad," katanya.

Berkongsi keadaan terkini Shuhada, sumber berkenaan memaklumkan wanita itu masih dalam keadaan terkejut dan perlu masa untuk berehat.

"Shuhada masih terkesan dengan apa yang berlaku dan dia perlu masa berehat.

"Syukur keadaan kini stabil," katanya.

Terdahulu, media melaporkan ahli keluarga Shuhada mendakwa Hafidz melafazkan cerai menerusi panggilan telefon pada 22 Februari lalu.

Kemelut rumah tangga Hafidz mula diperkatakan sebelum ini apabila Shuhada mendedahkan suaminya menjalinkan hubungan sulit dengan Athira Yuhada.

Athira mendedahkan pernah berhubung dengan Hafidz, namun berjanji tidak meneruskan hubungan selain memohon maaf kepada Shuhada dan anak-anaknya.

Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Shuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Humairah, 6 dan Umar, 2.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 4:55 PM