FAHMI. FOTO arkib Bernama
FAHMI. FOTO arkib Bernama
Ahmad Suhael Adnan


Petaling Jaya: Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berpesan supaya ahli akar umbi parti itu jangan meminta wang atau imbuhan selepas Pakatan Harapan (PH) kembali menerajui kerajaan.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) itu memberi amaran kepada mana-mana pimpinan dan akar umbi parti supaya tidak menjadikan amalan itu sebagai budaya dan barah dalam parti.

Fahmi menegaskan budaya itu tidak pernah wujud dalam sejarah dan identiti PKR yang sejak sekian lama hanya memperjuangkan nasib rakyat, dan ia berisiko merosakkan parti jika ia tidak dihentikan.

"Kita tak berjuang untuk jawatan, kita tak berjuang untuk 'ghanimah' (harta perang).

"Itu bukan dalam DNA kita. Itu bukan dalam sejarah perjuangan kita. Jangan jadikan perkara seperti itu satu kebiasaan dalam parti kita.

"Kena ingat, kita lahir di jalan raya dan berjuang berdepan dengan FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan). Kita perjuangkan nasib rakyat, bukan poket, bukan kocek, bukan projek," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pemantapan Penerangan PKR Selangor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan tidak pernah meminta atau melobi untuk mendapat jawatan Menteri Komunikasi dan Digital yang disandangnya ketika ini, sebaliknya hanya dimaklumkan kira-kira lima minit sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkannya secara langsung kepada umum.

Berkongsi kisah itu, Fahmi memaklumkan pada mulanya Anwar berseloroh dengan memaklumkan namanya terpaksa digugurkan daripada pertimbangan jawatan menteri.

"Saya jawab ok, saya faham. Tapi tiba-tiba Perdana Menteri kata 'Apa yang kamu faham? Raptai esok jam 9 pagi, angkat sumpah jam 3 petang'. Saya terpinga-pinga dan tanya apa yang dimaksudkan.

"Barulah Perdana Menteri maklumkan, 'Fahmi, saya lantik kamu jadi Menteri Komunikasi dan Digital.' Itulah PKR, bagi pun ok, tak bagi pun tak apa. Patuh dan taat.

"Ingat, kita tak berjuang untuk jawatan, kekayaan. Kalau itu yang menjadi paksi, keutamaan, objektif matlamat kita, rosak perjuangan ini. Kita kena ingat tangisan rakyat," katanya.

Harian Metro ingin memaklumkan beberapa fakta dalam berita asal ini yang memetik Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil telah disalah tafsir sehingga menyebabkan kekeliruan dan pembetulan mengenainya sudah dibuat sejurus dimaklumkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 2:00 PM