DR WAN Azizah
DR WAN Azizah
Wartawan NSTP


JAWATAN Presiden Pakatan Harapan (PH) akan kekal disandang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, jika suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang jawatan Presiden PKR, pada pemilihan parti itu.

Dr Wan Azizah berkata, beliau tidak akan terkesan jika tidak merebut jawatan Presiden PKR dan masih memiliki jawatan dalam PH serta kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Tak apa (kedudukan dalam PKR jika tidak bertanding jawatan Presiden).

“Tak ada apa-apa dengan kedudukan saya sebab kita merasakan bahawa dalam PH, memang jawatan saya tetap akan diteruskan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan serta jawatan yang bakal disandang dalam PKR sekiranya tidak merebut jawatan Presiden pada pemilihan parti itu, hujung bulan depan.

Sebelum ini, Anwar yang juga Ketua Umum PKR memutuskan akan bertanding jawatan Presiden selepas berbincang dengan Dr Wan Azizah dan barisan pimpinan parti, serta mengambil kira pandangan akar umbi.

Ditanya mengenai status jawatan Ketua Umum dalam parti itu, Dr Wan Azizah berkata, perkara itu belum dibincangkan dan akan diumumkan kemudian.

Beliau turut mengesahkan masih belum ada usul daripada mana-mana cabang PKR untuk membincangkan sama ada jawatan Ketua Umum perlu dikekal atau dimansuhkan daripada struktur kepemimpinan parti.

“Belum lagi ada perbincangan. Kalau ada perbincangan, kita akan umumkan. Jawatan Ketua Umum itu memang tidak ada dalam struktur parti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 11:35 AM