FARIS Najdi menyiramkan air mawar di perkuburan ibu dan bapanya. FOTO Rosli Ilham
FARIS Najdi menyiramkan air mawar di perkuburan ibu dan bapanya. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Kemaman: "Saya ingat mereka hanya kemalangan kecil. Luluh hati saya sebaik dimaklumkan kedua insan kesayangan meninggal dunia," kata Faris Najmi Arbain berhubung kemalangan maut yang mengorbankan bapa dan ibunya di Kilometer 274 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Cheneh, petang semalam.

Ibu bapanya, Rosmayati Bakar, 48, dan Arbain Baharudin, 47, yang juga guru Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang maut selepas Toyota Estima dinaiki bersama tiga lagi anak terbabas di tempat kejadian, kira-kira jam 4 petang.

Tiga anak mereka itu, Farah Najwa, 20, Faiqa Nabila, 10, dan Fatin Najla, 12, cedera dan dirawat di Hospital Kemaman.

Faris Najmi, 19, berkata, keluarganya dalam perjalanan ke rumah ibu saudara di Kerteh sebelum terbabit kemalangan.

"Sebelum itu, mereka semua menghantar saya yang belajar di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) kira-kira 2.30 petang.

"Kira-kira satu jam selepas itu, adik yang berada di dalam kereta memaklumkan mereka terbabit kemalangan melalui aplikasi WhatsApps.

"Saya pada mulanya ingatkan mereka hanya mendapat kemalangan kecil," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Kenangan Kerteh, hari ini.

Menurutnya, dia sangat sedih selepas bapa saudara yang datang menjemputnya di Polisas memaklumkan ibu bapanya meninggal dunia.

"Saya percaya ibu dan ayah penat. Mungkin tidak sempat rehat selepas hantar saya, mereka terus menyambung perjalanan ke Kerteh.

"Biarpun sedih, namun saya perlu reda dengan apa yang ditakdirkan Allah namun saya bersyukur kakak serta dua adik saya hanya cedera ringan," katanya.

Sementara itu, adik Rosmayati, Rozeta Bakar, 47, berkata, arwah ada memaklumkan mahu bermalam di rumahnya di Kerteh sempena cuti Thaipusam.

"Dia beritahu nak tidur semalaman di sini kerana di Kuala Lumpur cuti sehingga isnin dan bila tahu mereka sekeluarga nak datang, saya sediakan nasi dan lauk pauk untuk mereka.

"Pada jam 3.15 petang, Rosmayati ada menghubungi saya bertanya adakah saya menyediakan makanan untuk mereka," katanya.

Katanya, dia sangat sedih kerana tidak sampai satu jam selepas menerima panggilan yang memaklumkan kakak dan abang iparnya itu terbabit dan meninggal dalam kemalangan itu.

"Selain tiga anak mangsa yang cedera dalam kemalangan itu, arwah meninggalkan ada lagi tiga anak iaitu, Faris Najmi dan kembarnya, Faris Najdi, 19, serta Fitri Naim, 17.

"Saya bersama adik-beradik yang lain akan berbincang selepas ini untuk menjaga kesemua anak arwah," katanya.

Jenazah pasangan itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Kenangan, Kampung Baru Kerteh, jam 12.30 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 3:31 PM