Rosli Ilham

Chukai: "Seharian bersama saya, dia (bayi) sangat manja seperti tidak mahu berpisah, rupa-rupanya itu 'isyarat' dia nak tinggalkan saya," kata Mohd Sazali Ismail, 47, menceritakan detik akhir bersama anak bongsunya, Syaza Syazwina Zahra, yang terbunuh dalam kemalangan di Kampung Darat Kolam Kerteh, di sini, malam tadi.

Bayi berusia 17 bulan itu meninggal dunia selepas dilanggar pacuan empat roda dipandu sepupunya yang juga remaja perempuan berusia 19 tahun, pada 6.40 malam tadi.

Menceritakan kejadian itu, Mohd Sazali berkata, ketika kejadian dia di rumahnya di Kampung Pengkalan Ranggon Kerteh, sementara isterinya, Mazuin Abdul Rahim, 37, bersama bayinya dan empat lagi anak mereka ke rumah adik iparnya di Kampung Darat Kolam.

Dia berkata, ketika di rumah iparnya itu, isterinya membasuh pacuan empat roda, manakala arwah anaknya bermain berdekatan dengan kenderaan itu.

"Apabila melihat sepupunya di situ, Syaza Syazwina berlari mahu bermain bersama di situ (dengan sepupunya berkenaan).

"Dalam pada itu, sepupunya mahu mengundurkan pacuan empat roda terbabit tanpa menyedari Syaza Syazwina di belakang kenderaan itu.

MOHD Sazali menabur bunga di pusara anak bongsunya, Syaza Syazwina Zahra. FOTO Rosli Ilham
MOHD Sazali menabur bunga di pusara anak bongsunya, Syaza Syazwina Zahra. FOTO Rosli Ilham

"Sebaik mengundurkan kenderaan itu, anak buah saya itu terlanggar dengan Syaza Syazwina. Ahli keluarga kemudiannya mengejarkan Syaza Syazwina ke klinik kesihatan sebelum disahkan meninggal dunia," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ranggon Kerteh, di sini, petang tadi.

Mohd Sazali berkata, sebaik menerima panggilan ahli keluarga memaklumkan kejadian itu, dia bergegas ke klinik kesihatan terbabit.

"Pada mulanya saya ingatkan ia membabitkan kemalangan kecil, sebaliknya saya dimaklumkan anak sudah meninggal dunia.

"Celoteh manjanya masih terngiang-ngiang sehingga membuatkan saya sangat sedih. Apa boleh buat, itu sudah ketentuan Ilahi, saya hanya mampu reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Jenazah anaknya itu selamat dikebumikan kira-kira 4.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 5:25 PM