Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Terima kasih tak terucap. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala kebaikan insan-insan berhati mulia yang sanggup bantu kami sampai begini sekali.

"Kami pun tak sangka kerana sebelum ini Umarul (Iklim) ada beritahu suami (Iskandar) untuk bantu tapi dia tak bersetuju kerana tak nak susahkan orang."

Demikian kata Nur Hidayah Cecilia Abdullah, isteri pemain gitar kumpulan Spring, Iskandar yang kini dalam keadaan lumpuh akibat menderita pelbagai penyakit kronik, Iskandar atau nama sebenarnya, Tengku Raden Iskandar Tengku Ismail juga sukar bertutur dan dalam masa sama menjalani dialisis akibat komplikasi buah pinggang.

Nur Hidayah atau CC berkata, mereka bagaimanapun terkejut kerana hasrat Umarul diteruskan dan menyifatkan ia sangat membantu pada masa sekarang.

Iskandar Spring
Iskandar Spring

"Bagi pihak suami memang sangat membantu dari segi bantuan harian macam lampin pakai buang dewasa, tisu basah, losen dan balm panas yang sentiasa digunakan kerana dia sentiasa rasa lenguh akibat strok.

"Setiap hari saya dan anak-anak kena urut dia. Sebab dia lenguh dan tak selesa. Kulitnya pun selalu menggelupas sebab kadang kering dan kadang okey. Itulah sebabnya kena ada bedak dan losen walaupun pergi ke mana-mana.

"Selain itu suami juga kena jalani dialisis empat kali sehari dibuat oleh saya sendiri di rumah. Kena fokus betul-betul agar tak berlaku sebarang kesilapan," katanya kepada Harian Metro.

Mereka kini berada di Miri, Sarawak kerana menziarahi ibu Nur Hidayah yang meninggal dunia.

Semalam, Ameng, Umarul dan beberapa artis lain bersama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menggerakkan program jelajah amal, Solidariti Untuk Iskandar Spring di seluruh negara.

Siri jelajah itu bertujuan mengutip dana sekitar RM40,000 untuk menampung kos perubatan dan perbelanjaan sepanjang tahun buat Iskandar, yang mana purata jumlah diperlukan setiap bulan sebanyak RM3,000.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez (berdiri tengah) bersama barisan artis di Sidang Media Jelajah Amal Solidariti Iskandar Spring. FOTO Syaiful Raziq
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez (berdiri tengah) bersama barisan artis di Sidang Media Jelajah Amal Solidariti Iskandar Spring. FOTO Syaiful Raziq

Ameng berkata, dia dan Umarul merasakan tanggungjawab untuk membantu sahabat yang banyak berkongsi pahit manis sepanjang perjalanan membangunkan Spring dan Iklim.

"Asalnya, saya menawarkan diri menjadi penyanyi kumpulan Iklim, yang mana kalau ada 'show' saya boleh nyanyi. Tetapi, ini adalah cerita tiga tahun lalu. Sehinggalah Umarul memaklumkan setuju untuk bekerjasama.

"Saya mencadangkan tubuh kumpulan baharu di mana Umarul sebagai pemuzik dinamakan Aura Band. Kami rancang nak keluarkan satu single, tetapi nak memulakannya, apatah lagi, meraih populariti akan mengambil masa.

"Jadi, sebagai permulaan, kami cadang mengadakan busking. Namun kami mendapat tahu Iskandar sedang sakit ketika perancangan sedang diatur.

"Dari niat nak berhibur dan mengubat rindu peminat Spring dan Iklim, kami cadang untuk mengadakan siri jelajah amal untuk mengutip sumbangan buat Iskandar yang amat memerlukan," katanya.

Umarul yang juga bekas pemain gitar Iklim berkata, dia mengenali Iskandar sudah lebih 30 tahun.

"Kami bekerjasama menerusi album pertama Spring lagi. Saya rapat dengan Iskandar sebab dia juga ketua kumpulan Spring.

"Dia seorang yang baik hati, ceria dan sangat suka membantu. Siapa yang kenal Iskandar, pasti tahu mengenai sikapnya.

"Kalau Iskandar hadir dalam majlis, pasti ia meriah disebabkan perwatakannya.

"Alhamdulillah, ramai sudi membantu dan menyalurkan sumbangan. Tak tahu daripada mana, mungkin juga kenalannya dahulu." katanya.

Penyanyi, Ameng Spring. FOTO Syaiful Raziq
Penyanyi, Ameng Spring. FOTO Syaiful Raziq

Siri jelajah amal pertama akan diadakan di Santai Seni@TAR, Jalan Tunku Abdul Rahman, Ahad ini.

Persembahan percuma ini akan bermula antara jam 2.30 sehingga 6.30 petang.

Ia seterusnya akan diadakan di Padang Kota, Pulau Pinang dan Terengganu Drawbridge, Kuala Terengganu dan dijangka diadakan di beberapa lokasi lain seperti Ipoh, Kota Bharu dan lain-lain pada tarikh yang bakal ditentukan kelak.

Siri jelajah amal ini akan menampilkan Ameng, Umarul, Syafiq Farhain, Alim Kris, Maman Teachers Pet, Bob Sentuhan, Mus Kemala, Belle Fattah, Iss Arffan, Black Maria, Islah & The People dan Radhi Khalid selaku hos.

Mekanisme kutipan sumbangan ialah melalui jualan amal beberapa produk seni, cakera padat agama, tabung bergerak, kod imbasan QR dan secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 4:27 PM