AINA belum cukup bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
AINA belum cukup bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
Najiy Jefri


BAKAL menjengah ke usia 30 tahun pada Oktober depan, Aina Abdul mengaku dia belum memiliki teman hidup sebagai peneman atau berkongsi segala rasa yang dilalui dalam kehidupan sehariannya.

Bagi pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani ini, dia belum memiliki teman lelaki selain tidak bersedia untuk bergelar isteri.

"Saya tak tahu kalau ada yang persoal atau bertanya sama ada saya sudah mempunyai pasangan hidup atau tidak sebab masa yang saya luangkan di media sosial sangat terhad.

"Lagipun sekarang ini saya banyak fokus dengan kerja. Walaupun jawapannya agak 'klise' tapi inilah kebenarannya.

"Saya tak pernah fikir untuk membahagikan masa antara karier dan hubungan cinta sebab saya kenal diri saya. Sebenarnya saya tak bersedia untuk berkahwin sebab ada banyak benda nak diperbaiki sebagai wanita. Saya akui banyak kelemahan dan tak cukup ke arah itu. Jadi buat masa ini saya enggan memikirkannya," katanya.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Sumpah dan Semalam ini, dia tidak menganggap kesibukan sebagai penyanyi menghalang untuk dirinya mencari jodoh.

"Hakikatnya mental saya pun belum cukup bersedia ke arah itu. Lagipun saya tak mencari atau berkenalan dengan mana-mana lelaki. Jadi, kesibukan dengan kerja bukan satu penghalang atau mengganggu urusan itu," katanya.

Ditanya bilakah peminat dapat melihat dia ke jenjang pelamin, Aina tidak ada jawapannya.

"Soal jodoh ini adalah rahsia Allah. Saya hanya mampu mengatakan saya tidak berkenalan dengan sesiapa ketika ini dalam hidup saya," katanya.

AINA mempertaruhkan lagu ciptaannya berjudul Terus Hidup, pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL 37).
AINA mempertaruhkan lagu ciptaannya berjudul Terus Hidup, pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL 37).

Terkejut Rossa di depan mata

Berpeluang menyanyi di hadapan penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa, 44, ketika Aina diundang sebagai penyanyi jemputan pada konsert Cakra Khan di Kuala Lumpur baru-baru ini, Aina berkata, dia terkejut apabila melihat figura hebat itu berada di depannya.

"Sebenarnya saya tak tahu yang Rossa ada di konsert Cakra Khan. Jadi, saya terkejut apabila saya berada di atas pentas dan dia di depan saya.

"Bayangkan saya bertemu dengan penyanyi yang saya membesar dengan lagu-lagu nyanyiannya. Saya juga selalu menyanyikan semula lagu beliau di YouTube.

"Jadi saya rasa berbangga dan bertuah apabila dapat menyanyi di depan figura ini dan melihat sokongan beliau sewaktu saya menyanyi. Lebih menggembirakan ketika saya menyanyi beliau betul-betul dengar," katanya.

Aina berkata, lagu nyanyian Rossa antara penyumbang yang banyak memberi inspirasi kepada dirinya sebagai penulis lirik.

"Lagu-lagu seperti Hijrah Cinta, Ayat-Ayat Cinta dan Tegar antara yang banyak memberi inspirasi kepada saya. Ketika awal menulis lagu saya banyak mendengar lagu beliau kerana waktu itu saya masih sebagai anggota polis kerana tiada pengalaman cinta dan tak tahu apa yang dirasai oleh individu yang bercinta atau putus cinta. Jadi nak adakan perasaan itu saya dengar lagu-lagu nyanyiannya," katanya.

AJL37 lebih beri tekanan

Beralih mengenai persiapan Aina pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL 37) bulan depan, Aina yang mempertaruhkan lagu ciptaannya berjudul Terus Hidup mengaku persembahan kali ini bakal memberi lebih tekanan berbanding tiga kali penyertaannya dalam anugerah itu.

"Saya rasa ini adalah persiapan AJL yang paling besar harapan dan prosesnya agak rumit tetapi saya mengharapkan doa semua pihak untuk saya dan pasukan supaya dapat memberikan persembahan yang terbaik.

"AJL37 bukan saja memberi kepuasan kepada saya sebagai penulis lirik tetapi diharapkan dapat memberi kepuasan kepada pasukan, peminat turut mengharapkan persembahan yang mencipta detik indah," katanya.

Aina berkata, dia tidak dapat berkongsi butiran lanjut mengenai konsep persembahannya.

"Saya tak dapat nak kongsikan butiran terperinci seperti tema atau pilihan busana kerana ia adalah rahsia. Saya perlu memegang tanggungjawab menjaga kerahsiaan ini kerana kalau saya beritahu sekarang sudah tiada elemen kejutan pada acara itu.

"Kelainan yang bakal dibawakan juga tak boleh nak kongsi. Tunggulah ketika saya berada di atas pentas nanti. Tapi apapun saya takkan lari daripada apa yang orang jangkakan sebab Aina Abdul seorang yang sangat bereksperimental dengan persembahannya. Di situlah saya akan persembahkan lagu Terus Hidup ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 6:40 AM