Misha Omar.
Misha Omar.

Kuala Lumpur: Penyanyi Misha Omar, 39, cukup berbangga dapat bertarung dengan komposer dan penyanyi muda yang disifatkannya hebat pada Separuh Akhir Muzik-Muzik 36 (SFMM36), semalam.

Meskipun gagal menempa tempat dalam senarai 12 finalis Anugerah Juara Lagu 36 (AJL36), Misha yang mempertaruhkan lagu Tanpa Rela hasil ciptaan sendiri merasa satu penghormatan buatnya dapat ke tahap itu.

"Tahniah buat 12 lagu yang mara ke AJL36. Alhamdulillah, semalam saya berpeluang berkongsi pentas dengan sekalian anak-anakbseni yang berbakat dalam industri muzik kita. 

"Meskipun lagu ciptaan saya bersama Szewan Kenobi, Zul Husni dan Slen Fadzil tak berjaya ke AJL36, tapi percubaan kali

ini tetap akan jadi pembakar semangat yang baik buat saya menimba lebih banyak ilmu dalam nyanyian dan bidang penciptaan lagu. Insya-Allah," katanya.

Misha juga berjanji akan terus cuba menghasilkan karya pada masa hadapan dan bukan sekadar menyanyi semata-mata.

"Doakanlah mudah-mudahan saya boleh cipta lagu yang lebih baik dan berkualiti di masa akan datang. Terima kasih buat kawan-kawan semua yang mengundi Tanpa Rela di carta mingguan Muzik-Muzik sehingga mara ke SFMM36. 

"Terima kasih juga kepada pihak TV3 di atas platform yang diberikan untuk kami pertaruhkan

karya-karya seni dari semasa ke semasa. Terima kasih juga kepada pihak Sony Music Malaysia kerana percaya dengan lagu pertama ciptaan saya untuk diketengahkan," katanya.

Semalam, 12 lagu diumumkan berjaya layak ke AJL36 ialah Mimpi (Haqiem Rusli), Sepi (Aina Abdul), Purnama (Naim Daniel), Lara (Haqiem, Naim, Hael Husaini), Nafas Cinta (Aina dan Khai Bahar), Boneka (Ernie Zakri), Pelukan Angkasa (SOG & Shila Amzah), Intan Payung (Noraniza Idris & Bunga), Salahku (Yonnyboii), AEWO (Shiha Zikir), Angkara (Siti Nordiana) dan Cinta (Marsha Milan).

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 1:22 PM