MOON  dan isteri, Kim Jung-sook melambai kepada orang ramai ketika tiba di majlis angkat sumpah di Rumah Biru, Seoul. - Reuters
MOON dan isteri, Kim Jung-sook melambai kepada orang ramai ketika tiba di majlis angkat sumpah di Rumah Biru, Seoul. - Reuters
Agensi

Seoul: Presiden baru Korea Selatan Moon Jae-In menyuarakan kesediaannya melawat Pyongyang dalam pada ketegangan yang semakin memuncak dengan negara jirannya itu.

Moon yang berhaluan kiri dan bekas peguam hak asasi manusia menyokong dialog dengan Pyongyang dalam usaha mencapai keamanan, jauh berbeza daripada retorik ancaman dikeluarkan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sejak kebelakangan ini.

“Jika perlu saya akan terbang segera ke Washington. Saya juga akan ke Beijing, Tokyo, malah Pyongyang jika keadaannya sesuai,” katanya.

Moon, 64, berdepan cabaran dari segi diplomatik berhubung pendekatannya dengan Pyongyang yang pernah mengancam menghantar senjata nuklear ke AS, selain turut menyasarkan Seoul.

Dia turut berdepan pelbagai cabaran dalam negara yang baru melepasi skandal rasuah besar-besaran yang menyelubungi mantan pemimpin, Park Geun-Hye, yang memecah-belahkan rakyat Korea Selatan.

“Saya akan menjadi presiden untuk semua rakyat, termasuk yang tidak menyokong saya,” katanya yang memenangi 41.1 peratus undian.

Sementara itu, Moon mengumumkan keputusannya menjadikan bangunan kerajaan yang lama di pusat bandar Seoul sebagai pejabatnya dan bukan istana presiden, Rumah Biru, dalam tindakan simbolik yang dilapor memeningkan kepala kakitangan keselamatannya.

Moon sebelum ini berjanji menamatkan ‘budaya presiden autokratik’ - imej yang menyelubungi pemimpin terdahulu, Park Geun-hye.

“Saya akan meninggalkan Rumah Biru dan memulakan era ‘Presiden Gwanghwamun’ sebaik semua persediaan dilaksanakan,” katanya dalam ucapan pertama sebagai presiden, semalam.

Gwanghwamun pusat sejarah Seoul dan lokasi di mana kebanyakan istiadat rasmi diadakan, selain tempat demonstrasi aman terhadap Park diadakan bermula lewat tahun lalu yang akhirnya membawa kepada kemenangan Moon.

Mengulas perkara itu, sumber berkata: “Memang ia isu yang memeningkan. Faktor keselamatan antara masalah utama yang perlu dipertingkat. Sejujurnya, cadangan itu tidak realistik.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 10:43 AM