MICHEAL (duduk tengah) bersama keluarga mangsa yang membayar tebusan RM10,000 bagi
MICHEAL (duduk tengah) bersama keluarga mangsa yang membayar tebusan RM10,000 bagi
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Samadi Ahmad


Kuala Lumpur: Sanggup bayar RM10,000 untuk menebus nyawa anak yang ditawan sindiket penjenayah berpangkalan di Myanmar.

Itu tindakan seorang ibu yang diugut membayar sejumlah wang bagi memastikan anaknya yang baru berusia 15 tahun dibebaskan dan keluar dari negara berkenaan.

Perkara itu didedahkan Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Dato Seri Micheal Chong susulan aduan dan maklumat diterima pihaknya sejak minggu lalu.

Menurutnya, ibu remaja terbabit memaklumkan anaknya diperdaya ahli sindiket yang menawarkan pekerjaan bergaji lumayan di Johor pada 23 Mac lalu.

"Bagaimanapun, mangsa tidak dibawa ke Johor sebaliknya diseludup keluar melalui laluan tikus ke negara jiran di utara tanah air. Ia dilakukan beberapa lelaki dipercayai anggota sindiket penipuan antarabangsa.

"Selepas memasuki Thailand secara haram, mangsa kemudian dibawa menaiki kenderaan sejauh beratus kilometer sebelum dibawa ke Myanmar," katanya.

Micheal berkata, mangsa kemudian cuba dieksploitasi sebagai operator panggilan penipuan jarak jauh oleh sindiket.

"Namun kehilangan ramai remaja dan belia tempatan ini akibat diperdaya sindiket mencetuskan panik sebelum ia didedahkan pihak media dan pelbagai platform media sosial.

"Berikutan tekanan diterima ini selain campur tangan kerajaan, pihak sindiket bersetuju untuk membebaskan rakyat Malaysia yang dijadikan tawanan ini sekiranya ahli keluarga mangsa bersetuju membayar tebusan.

"Pada peringkat awal, pihak sindiket mengugut wang tebusan sebanyak 300,000 Renminbi (RM200,000). Namun ahli keluarga mangsa berjaya berunding dan meminta pengurangan kepada RM23,000. Jumlah itu kemudian dikurangkan kepada hanya RM10,000," katanya.

Chong berkata, dengan bantuan seorang ahli perniagaan Malaysia di Thailand, remaja itu bersama seorang lagi remaja Malaysia dibebaskan.

"Remaja itu kini selamat dan menunggu masa untuk pulang selepas wang tebusan dibayar.

"Selain itu beberapa mangsa lelaki warga Malaysia yang diumpan untuk bekerja dengan sindiket di Kemboja turut diselamatkan pihak polis tempatan melalui usaha sama antara kedutaan Malaysia di Kemboja, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kementerian luar.

"Mereka adalah antara 10 nama yang kami serahkan kepada kedutaan Malaysia untuk membantu membawa pulang semua mangsa ke tanah air," katanya.

Dalam sidang media berasingan pada 4 April lalu, Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA mendakwa lebih 50 rakyat Malaysia dipercayai menjadi tawanan di beberapa negara seperti Kemboja, Myanmar, Vietnam dan Thailand oleh sindiket penipuan dalam talian.

Pihak MCA memaklumkan menerima panggilan telefon daripada sejumlah mangsa pada Februari lalu yang meminta diselamatkan daripada menjadi tawanan sindiket sejak dua hingga enam bulan lalu.

Katanya mangsa diperdaya dengan ditawar dan dijanjikan bekerja sebagai telepemasaran dengan gaji tinggi antara AS$3,000 (RM12,700) hingga AS$4,000 (RM16,900) sebulan.

Pihak MCA turut merayu golongan muda supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah ditipu dan dikaburi dengan gaji tinggi yang ditawarkan sindiket berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 7:01 AM