ANTARA anjing K9 yang digunakan dalam operasi di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm.
ANTARA anjing K9 yang digunakan dalam operasi di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm.
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Raja Noraina Raja Rahim


Hulu Selangor: Frankie, Denti, Pop dan Tar yang mempunyai kepakaran menghidu dan mengesan mangsa bencana adalah antara 'watak' penting berada di lokasi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali di sini.

Keempat-empat anjing pengesan itu adalah sebahagian 12 anjing Unit Anjing Pengesan (K9) yang memiliki kemahiran mengesan, menjejaki dan menghidu di darat serta di air.

Semua anjing pengesan itu mula dilihat memasuki kawasan runtuhan pada jam 9 pagi kelmarin secara berperingkat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, anjing K9 dikerahkan untuk membantu pasukan penyelamat susulan keadaan timbunan tanah yang tebal.

"Hari ini (semalam) pasukan penyelamat bertugas dibantu Unit K9. Penugasan pasukan unit K9 akan digilirkan bagi mengelak anjing berkenaan kepenatan.

"Untuk operasi SAR pagi ini (semalam), kami menugaskan dahulu tiga anjing K9 milik bomba untuk membantu operasi. Semua anjing ini mempunyai kepakaran di darat dan air serta mampu membantu pasukan penyelamat mengesan mangsa yang terperangkap," katanya.

Selain itu turut digunakan adalah anjing dari Unit Anjing Pengesan Angkatan Pertahanan Awam K9 (APM) bernama Tar.

Anjing baka Labrador diimport dari Belanda itu turut membantu pasukan penyelamat menjejaki mangsa yang masih tertimbus di tapak runtuhan sejak Jumaat lalu.

Difahamkan terdapat sebanyak 11 anjing pengesan K9 iaitu enam milik JBPM, empat milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masing-masing satu milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan APM digunakan dalam operasi SAR.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 12:00 PM