Zuliaty Zulkiffli


Padang Terap: "Saya tidak dapat tidur lena kerana jasad anak, Muhamad Shahril, masih tidak ditemui sejak terjatuh ke Sungai Kuala Pai, jam 10 pagi Ahad lalu.

"Kami akan terus membaca surah Yassin, melakukan solat hajat selain berusaha mengesannya hingga jasadnya ditemui," kata Hamid Yaakob.

Hamid, 61, berkata, selagi jasad anaknya yang berumur 30 tidak ditemui, dia akan terus bersama pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Menurut Hamid, dia reda jika ditakdirkan anaknya meninggal dunia.

"Cuma saya sentiasa panjangkan doa kepada Allah SWT supaya jasad anak ditemui," katanya ditemui di lokasi pencarian mangsa di Sungai Kuala Pai semalam.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Wan Hamizi Wan Mohd Zin berkata, 30 anggota bomba, termasuk 12 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dan Sungai Petani, masih berusaha mengesan mangsa.

ANJING pengesan K-9 JBPM digunakan untuk mencari mangsa yang dikhuatiri lemas di Sungai Kuala Pai. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANJING pengesan K-9 JBPM digunakan untuk mencari mangsa yang dikhuatiri lemas di Sungai Kuala Pai. FOTO Zuliaty Zulkiffli

"Kami juga berdepan cabaran sepanjang operasi berikutan arus deras selain halangan ranting dan dahan pokok di dasar sungai," katanya.

Dua anjing pengesan dari Unit K-19, BBP Jalan Klang Lama, Selangor turut digunakan bagi mengesan mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Ketua Polis Daerah Padang Terap Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar, turut ke lokasi SAR.

Seramai 60 anggota bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah dan Jabatan Sukarelawan Malaysia turut serta pada operasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 6:46 PM