DAING Iskandar dan ibu angkatnya yang berlakon sebagai mangsa prank memohon maaf.
DAING Iskandar dan ibu angkatnya yang berlakon sebagai mangsa prank memohon maaf.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: TikToker, Daing Iskandar Mohd Tahir memohon maaf atas keterlanjurannya memuat naik video prank baru-baru ini hingga menimbulkan kemarahan ramai.

Daing Iskandar membuat permohonan maaf itu menerusi video dimuat naik di akaun TikTok, hari ini.

"Assalamualaikum, saya Daing Iskandar Mohd Tahir ingin membuat permohonan maaf secara terbuka dan tanpa bersyarat kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya pihak terkesan dengan video itu sama ada secara langsung atau tidak.

"Saya mengambil tanggungjawab penuh di atas baik dan buruk terhasil daripada hantaran video itu.

"Saya ambil iktibar atas kekhilafan ini dan memohon kepada semua pihak agar tidak meniru aksi prank seperti itu.

"Saya juga belajar meneladani adab, budaya, norma ketimuran yang sesuai untuk pengamalan secara harmoni di Malaysia. Saya harap tiada lagi yang share (kongsi) serta tutup video itu," katanya.

Menerusi video berdurasi tiga minit itu, Daing Iskandar turut menjelaskan wanita yang menjadi 'mangsa' dalam video berkenaan adalah ibu angkatnya.

"Ia adalah lakonan semata-mata dan sebenarnya bukan nak prank emak, tetapi orang sekeliling, namun tiada langsung (orang) yang peduli," katanya.

Sementara itu, ibu angkat Daing Iskandar yang tidak mendedahkan namanya mengaku ditawarkan menjadi pelakon bagi menjayakan projek video berkenaan.

Katanya, video itu dihasilkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tanpa ada niat untuk menyinggung sesiapa.

"Saya diberi tugas melakonkan watak sebagai ibu membawa anak Orang Kurang Upaya (OKU) yang mana saya di prank menggunakan kek.

"Saya bersetuju melakonkan watak itu untuk membantunya sebagai anak muda berjaya di TikTok. Saya minta maaf sekiranya lakonan atau prank itu mengguris hati rakyat Malaysia dan berharap anda maafkan kami. Insya Allah kami tak akan lakukan lagi," katanya.

Dalam pada itu, wanita terbabit berkata, dia kasihan kepada Daing Iskandar yang menerima kecaman selepas tularnya video berkenaan, malah mendakwa turut menerima ugutan.

"Saya sayang dia, saya harap kita semua jangan terlalu mengikut emosi kerana lakonan ini hanya bertujuan untuk kesedaran kepada semua," katanya yang mengakui takut dengan penangan tular.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 7:12 PM