JOSH dan Lisha mengecat mukanya menggantikan pelitup muka. FOTO Agensi
JOSH dan Lisha mengecat mukanya menggantikan pelitup muka. FOTO Agensi
Agensi

Jakarta: Akibat prank melampau, dua personaliti media sosial menerima padah apabila 'kreativiti' mereka itu mencetuskan kemarahan rakyat Indonesia.

Malah, tindakan mereka mengecat muka bagi menggantikan pelitup muka dan berjalan di sebuah pusat beli-belah di Indonesia menyebabkan pasport mereka dirampas pihak berkuasa serta berkemungkinan dihantar pulang ke negara asal.

YouTuber, Josh Paler Lin dan influencer Rusia, Lisha melakukan prank terlampau itu awal bulan ini sehingga ia tular dengan pantas walaupun video berkenaan sudah dipadam dari media sosial.

Ia dimuat naik kembali pengguna lain termasuk pereka fesyen, Niluh Djelantik.

Jurucakap Kementerian Perundangan dan Hak Asasi mengesahkan pasport kedua-dua personaliti media sosial itu sudah dirampas, lapor Coconuts.co.

"Keputusan sama ada akan menghantar mereka pulang akan ditentukan selepas siasatan lanjut bersama imigresen," katanya.

Sementara itu, Polis Bali, Dewa berkata, pihaknya akan mengeluarkan surat pengesyoran kepada imigresen untuk menghantar pulang pasangan berkenaan.

"Mereka bukan saja melanggar peraturan, malah membuat provokasi di tempat awam.

"Jadi wajar mereka dihukum berat bukan hanya denda tetapi dihantar pulang," katanya dalam portal Daily Star.

Sementara itu, Josh dan Lisha memohon maaf menerusi satu video di Instagram atas keterlanjuran mereka itu.

"Kami tiada niat membuat video itu untuk tidak hormat atau mengajak orang lain tidak memakai pelitup muka.

"Ia cuma sekadar hiburan kerana saya pereka kandungan dan ini tugas saya untuk menghiburkan orang.

"Saya tak sangka apa yang saya buat ini memberikan komen negatif dan meraih perhatian ramai," katanya.

Di Indonesia, berjalan dalam bangunan dengan tidak memakai pelitup muka menjadi satu kesalahan dalam peraturan pencegahan Covid-19.

Di bawah peraturan pemakaian pelitup muka di Bali, warga asing boleh denda 1 juta rupiah (kira-kiraRM284) jika mereka tidak memakai pelitup untuk permata kali, manakala hukuman bagi kesalahan berulang adalah diusir dari Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 6:31 AM