AMENG teruskan karier solo tanpa Spring. - FOTO Azhar Ramli
AMENG teruskan karier solo tanpa Spring. - FOTO Azhar Ramli
Ridzuan Abdul Rahman


SEPERTI mana penyanyi berkumpulan lain, nama Ameng juga tidak terkecuali masih dikaitkan dengan kumpulan Spring.

Walaupun kini bergerak solo, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail mengakui sukar dipisahkan dengan kumpulan yang melonjakkan namanya di persada seni tanah air ini.

"Sudah semestinya ingatan terhadap Iskandar (gitar), Zaha (gitar), Empy (gitar) dan Acong (dram) sukar dilupakan kerana banyak pengalaman suka duka yang kami lalu bersama.

"Bermula dari bawah, perlahan-lahan kami mendaki tangga sampai menuju ke puncak kejayaan sehingga Spring menjadi satu nama besar.

"Bagaimanapun itu cerita lama kerana hakikatnya kini Spring sukar untuk bergabung semula seperti dahulu," katanya.

Menurutnya fasa sekarang menyaksikan anggota Spring sudah berusia dan ada yang mula berdepan masalah kesihatan.

"Bila dah masuk bab ini memang agak susah. Inilah yang sedang ditempuh oleh kami sekarang. Diakui permintaan terhadap Spring sangat tinggi.

"Sekarang kan zaman konsert. Kita tengok orang sanggup beli tiket berharga mahal untuk tengok aksi kumpulan kesayangan mereka.

"Kita dapat tengok Slam, Ukays dan Exists bergabung semula untuk menjayakan konsert istimewa yang dapat sambutan peminat," katanya.

Ameng memaklumkan mereka pernah didatangi tawaran daripada penaja untuk Spring mengadakan konsert seperti mana kumpulan era 90-an lain.

"Kami dah pernah bergabung tapi tak cukup korum. Spring bukan tak nak buat tapi kalau kita nak cari orang baru, rasanya ia bukan Spring lagi.

"Kalau tak original baik jangan buat. Kalau nak buat biarlah babitkan anggota asal. Jadi sekarang saya terpaksa lupakan walau keinginan itu ada.

"Namun penganjur tak putus asa pujuk saya dengan tukar persembahan saya secara solo. Tapi bukan berskala besar dan dibuat di dewan pengantin sedangkan pelan asal nak buat di Istana Budaya," katanya.

Penyanyi, Ameng Spring
Penyanyi, Ameng Spring

Ameng tidak mahu isu ini mengganggu fikirannya dan lebih memikirkan untuk terus kekal mencari rezeki dalam industri seni.

"Saya hanya fikirkan peluang menyanyi. Apa saja program nyanyian, saya akan terima walaupun hanya disiarkan di YouTube. Lagipun ia akan kekal lama bertahan.

"Lagu-lagu era 80-an dan 90-an malar segar dan banyak memori. Ia sangat sesuai sebagai simpanan dan kenangan serta mempunyai nilai sentimental buat peminat.

"Dari segi persembahan, saya tiada masalah beraksi secara minus one atau dengan pengiring kerana saya berasal dari kumpulan," katanya.

Ameng mengakui mempunyai keinginan menghasilkan single terbaru dan pernah berjumpa Datuk M Nasir bagi merealisasikan impiannya.

"Sebagai pengkarya saya memang mahu terus berkarya. Jadi saya kumpul modal sedikit demi sedikit dan berjumpa M Nasir. Hubungan kami baik sebab dia yang hasilkan lagu popular Sampai Hati yang mencatat royalti tertinggi.

"Kos untuk buat single baru sekitar RM11,000. Kononnya saya nak cuba sebab tahu lagu-lagunya berkualiti dan tak menghampakan. Namun dia nasihatkan penyanyi lama sebenarnya tak payah buat lagu baru.

"Katanya pergi show mana-manapun peminat nak lagu Sampai Hati juga. Begitu juga lagu Bourgenvilla. Saya jadi terdiam apabila dia cakap begitu," katanya.

Menurutnya, dia mengambil keputusan mendengar nasihat M Nasir serta cuba mempraktikkan apa yang dilakukan oleh penyanyi luar.

"Boleh kalau buat lagu baru tapi kenalah bergabung dengan penyanyi Budak Baru Nak Up (BBNU). Untuk itu, saya nak cuba juga duet dengan artis baru.

"Tengok pada ranking sekarang saya berminat untuk berduet dengan Haqiem Rusli, Amir Masdi dan beberapa nama lagi," katanya.

Ameng juga terbabit dalam program nyanyian Salam Dari Maya 2.0 bergandingan dengan Jay Jay.

Peminat boleh menyaksikan persembahan mereka yang kini disiarkan menerusi saluran YouTube Mac Training Centre Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 6:00 AM