UMARUL menggantikan tempat Iskandar sebagai pemain gitar utama Spring.
UMARUL menggantikan tempat Iskandar sebagai pemain gitar utama Spring.
VOKAL Ameng masih mantap seperti dahulu.
VOKAL Ameng masih mantap seperti dahulu.
Ridzuan Abdul Rahman


Puas hati dan gembira. Itulah perasaan yang dikongsi Ameng dan anggota Spring sebaik selesai mengadakan persembahan di restoran D’Saji KL Titiwangsa, Jumaat lalu selepas 15 tahun tidak melakukannya.

Walaupun persembahan sedikit janggal kerana tidak disertai Iskandar (gitar utama) dan Acong (dram), Ameng menyifatkan ia bukan masalah besar kerana mereka mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian.

“Kami terpisah kira-kira 15 tahun kerana masing-masing bawa haluan sendiri. Kebetulan saya pun ada tragedi masuk penjara, jadi semua hilang punca sekejap sehingga membuatkan beralih kepada kerjaya lain.

“Penyatuan kami malam ini adalah atas permintaan peminat. Saya dah tak larat dengar pertanyaan peminat berkenaan Spring dan akhirnya tampil dengan jawapan ini. Persembahan ini jadi bukti Spring masih ada dan sedia menghiburkan peminat sekiranya ada permintaan,” katanya.

Ameng yang kini aktif menyanyi solo berkata, Spring mula digerakkan oleh Umarul (pemain gitar Iklim) 30 tahun lalu dan ini antara sebab Umarul ditampilkan sebagai pemain gitar menggantikan tempat Iskandar dalam persembahan ini.

“Umarul sekarang ada studio sendiri dan saya selalu menggunakan khidmatnya untuk merakamkan single. Kebetulan Azhar pun ada singgah di situ untuk buat gitar, jadi dari situlah timbul idea Spring boleh bersatu kembali walaupun dua anggota asal tak dapat bersama.

“Iskandar bukan menarik diri, tapi dia mengalami masalah gout yang serius membabitkan sendi termasuk tangannya. Saya pernah berjumpa dia dan mendapati keadaan kesihatannya memang tak mengizinkan.

“Saya ingatkan Iskandar merajuk tapi akhirnya memahami masalah yang dihadapinya. Acong pula kini bergelar pengusaha durian Musang King yang berjaya di Negeri Sembilan dan mungkin selepas ini dia akan kembali bersama kami,” katanya.

Menurut Ameng, Spring juga dirisik beberapa syarikat rakaman untuk menghasilkan single terbaru dan ini antara faktor mereka bergabung semula.

“Kalau kami bergabung rasanya akan beri faedah buat semua. Mungkin kami tak dapat fokus untuk jangka masa yang panjang tapi buat masa ini kami akan aktif semula sekali gus menjanjikan pendapatan untuk tahun ini,” katanya.

Satu permulaan

Dalam persembahan selama dua jam ini, Ameng tampil menyanyikan sembilan lagu antaranya Sejiwa, Cempaka Di Rembulan, Pesanan Buat Kekasih, Bourgeinvilla, Persada Cintaku, Butakah Cinta dan Sampai Hati.

Sedikit kelainan, sebaik menyampaikan dua lagu utama, Ameng mengetuai bacaan al-Fatihah sebelum meneruskan persembahan mereka.

“Secara jujurnya saya tak sempat berlatih pun dengan anggota Spring kerana terlalu sibuk dengan komitmen lain.

“Sebelum tarikh persembahan ini dipersetujui, saya sudah beri komitmen bersetuju dengan pelbagai program antaranya ceramah motivasi sama ada di sekolah, pusat pengajian tinggi, penjara dan masjid.

“Program di masjid berlangsung hampir setiap hari sehingga membuatkan saya tak sempat berlatih dengan anggota lain. Bagaimanapun, lagu ini pernah kami mainkan bersama dan saya dapat menyesuaikan diri serta puas dapat menghiburkan semua yang hadir,” katanya.

Sepatutnya Ameng dan Spring menyanyikan lagu tribute buat Iklim, namun kekurangan masa untuk berlatih membuatkan idea ini terpaksa disimpan pada lain masa.

“Sekiranya tiada halangan, Umarul mungkin kekal bersama Spring, manakala untuk dram pula kami akan ambil pemain undangan buat sementara waktu,” katanya.

Ameng berharap persembahan ini menjadi satu pengenalan buat penganjur yang ingin mengundang Spring beraksi di mana-mana lokasi selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 9:43 AM