Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Dia cantik, ada suara dan berbakat."

Itu kata penerbit terkenal, Datuk A Aida apabila anak keduanya hasil perkahwinan dengan penyanyi Ameng Spring, Wan Azevanatassha atau Natassha, 21, tular di aplikasi TikTok.

Aida, 52, berkata, dia tidak kisah jika suatu hari nanti anaknya itu terbabit dalam bidang hiburan dan menjadi penyanyi.

"Saya tak kisah dia menjadi penyanyi. Saya okay saja. Macam saya kata, dia ada suara, rupa dan pandai main gitar, kenapa tidak? Saya selalu cakap pada dia, mainlah gitar dan letak di YouTube. Manalah tahu boleh meletup.

"Saya selalu bebel pada dia. Sudah ada semua dan buatlah album. Tapi dia tak nak sebab katanya itu lebih pada kepuasan diri sendiri. Perhatiannya bukan nak menjadi artis, dia tak nak. Bagi saya, sayang anugerah Allah. Tak semua orang dikurniakan kelebihan dan bakat itu. Sayang tak digunakan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Aida yang juga penerbit A Aida Production, kedua-dua anak perempuannya pandai dan berbakat dalam bidang nyanyian.

"Kakak dia pun, Wan Az Aleesa, 26, pun boleh menyanyi. Kedua-dua anak Ameng ni boleh nyanyi. Tapi itulah, mungkin mereka mahu beri perhatian pada bidang lain iaitu pelajaran. Alhamdulillah, Aleesa sekarang mengikuti pengajian peringkat Sarjana dan Natassha pula program perakaunan di UiTM (Universiti Teknologi Mara).

"Natassha seorang anak yang ada dunia tersendiri. Biasanya dia dalam bilik saja. Sedangkan bagi saya dia pandai main gitar, menyanyi, suara 'best'. Dari dulu lagi saya dengan beberapa kawan dalam bidang muzik 'bodek' dia suruh jadi penyanyi dan berlakon dalam video muzik, tapi dia akan cari alasan tak nak.

"Sekarang dia cuti semester dan banyak habiskan masa dengan komposer Sharon Paul di studio. Saya pun suruh Sharon pujuk dia mana tahu nak menjadi penyanyi," katanya.

A Aida bersama tiga anaknya, dari kiri Rahul, Az Aleesa dan Natassha.
A Aida bersama tiga anaknya, dari kiri Rahul, Az Aleesa dan Natassha.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 12:32 PM