TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang atas tuduhan menculik dan membunuh teman wanita, hari ini. FOTO Azhar Ramli.
TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang atas tuduhan menculik dan membunuh teman wanita, hari ini. FOTO Azhar Ramli.
Redzuan Muharam


Kajang: Penyelia tapak pembinaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua tuduhan menculik dan membunuh teman wanitanya, bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Lai Jai Loon, 27, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli dan Syahrul Sazly Md Sain.

Pengakuan tidak direkodkan kerana kes itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, Lai dengan niat mendapatkan wang tebusan sebanyak RM40,000, didakwa menahan Ho Mei Ling, 27, dengan cara melarikannya secara salah di hadapan rumah di Jalan Kenari 1, Taman Kenari, Lenggeng, Negeri Sembilan pada 3.50 petang, 25 September 2022.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati, boleh dikenakan sebatan jika disabitkan.

Tertuduh turut didakwa membunuh dan menyebabkan kematian wanita sama di tepi Jalan Bukit Tekali, Batu 14, Hulu Langat, di sini pada 3.50 petang, 25 September hingga 3 petang, 27 September 2022.

Lai didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Afiqah Abdul Ghaffar dan Nurul Husna Amran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 November depan untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini, melaporkan mayat wanita dipercayai mangsa culik ditemui dalam gaung di Bukit Tekali, Hulu Langat, Selangor pada 27 September lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff dilapor berkata, mangsa yang disyaki dibunuh itu ditemui orang awam pada 3.30 petang dan pemeriksaan lanjut dibuat berdasarkan kad pengenalan dan dokumen yang ditemukan bersamanya serta pengecaman ahli keluarga.

Terdahulu, polis menerima laporan daripada sepupu mangsa sehari selepas wanita itu dilarikan di kawasan rumahnya di Broga, Lenggeng, Negeri Sembilan selain mendakwa turut menerima WhatsApp meminta sejumlah wang tebusan.

Siasatan awal mendapati mangsa dan lelaki itu dipercayai pasangan kekasih yang berkenalan melalui laman sosial sejak awal tahun ini dan motif pembunuhan disyaki ada kaitan dengan hutang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 1:05 PM