Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

PENIAGA kuih dihadapkan di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas dua tuduhan menggunakan wang palsu untuk membeli durian di Lenggeng, dekat Seremban, awal bulan ini.

Ridzuan Mat Nor, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan hadapan Hakim G Ramesh.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menggunakan wang palsu terhadap Madzar Abd Aziz, 59, sebanyak empat keping wang kertas RM100 dengan mengetahuinya sebagai palsu di Jalan Lenggeng-Broga dekat Seremban, 11.30 pagi, 3 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Ridzuan didakwa menggunakan wang palsu ke atas Rosli Ismail, 56, sebanyak dua keping wang kertas RM100 dengan mengetahuinya sebagai palsu di Jalan Kampung Tengah, Lenggeng, 9.30 pagi, pada 9 Ogos lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak, manakala tertuduh diwakili peguam A Partheeban.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 bagi setiap pertuduhan, selain tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap Ahad awal bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 1:37 PM