AHMAD Dzaffir. FOTO BERNAMA
AHMAD Dzaffir. FOTO BERNAMA
Ahmad Hasbi

Seremban: Polis masih menunggu hasil bedah siasat bagi mengetahui punca kematian seorang wanita yang menjadi mangsa culik sebelum mayatnya ditemukan dalam gaung di Bukit Tekali, Hulu Langat, Selangor pada 27 September lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, kes berkenaan disiasat Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang dan pihaknya dimaklumkan sehingga kini keputusan bedah siasat belum diperoleh.

"Bagi kes bunuh yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, ia disiasat IPD Kajang kerana mayat di temui di Bukit Tekali, iaitu di bawah pentadbiran IPD berkenaan.

"Berdasarkan maklumat yang kami peroleh setakat ini masih menunggu ujian makmal," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai kes penculikan, Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya juga masih menjalankan siasatan lebih lanjut mengenai motif hutang seperti yang dimaklumkan kepada media sebelum ini.

"Kami juga menjalankan siasatan kaitan kekasih mangsa, seorang lelaki yang juga pekerja swasta berusia lingkungan 20-an yang ditahan di Ampang, Selangor pada Selasa lalu bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan yang dihubungi ketika diminta mengulas mengenai punca kematian juga memaklumkan perkara sama.

"Sehingga kini keputusan hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kajang masih belum diperoleh," katanya.

Jumaat lalu Harian Metro melaporkan mayat wanita dipercayai menjadi mangsa culik ditemukan dalam gaung di Bukit Tekali pada 27 September lalu.

Mangsa berusia 27 tahun itu disyaki dibunuh itu ditemukan orang awam kira-kira 3.30 petang.

Siasatan awal mendapati mangsa dan lelaki itu dipercayai pasangan kekasih yang berkenalan melalui laman sosial sejak awal tahun ini dan motif pembunuhan disyaki ada kaitan dengan hutang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 3:28 PM