FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Seorang lelaki akan didakwa atas dua pertuduhan bunuh dan culik seorang wanita di Mahkamah Sesyen, di sini, esok.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan memaklumkan pendakwaan terhadap suspek berusia 27 tahun itu akan dibuat jam 8.30 pagi esok.

Sebelum ini, media melaporkan mayat wanita dipercayai menjadi mangsa culik pada 25 September lalu ditemukan dalam gaung di Bukit Tekali, Hulu Langat, di sini, pada 27 September lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff dipetik berkata, mangsa berusia 27 tahun yang disyaki dibunuh itu ditemui orang awam jam 3.30 petang.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas mayat berkenaan mendapati mangsa adalah kes culik yang sedang disiasat berdasarkan kad pengenalan dan dokumen yang ditemui bersamanya serta pengecaman ahli keluarga.

Katanya, pihak polis menerima laporan daripada sepupu mangsa sehari selepas wanita itu dilarikan di kawasan rumahnya di Broga, di sini, selain mendakwa turut menerima WhatsApp meminta sejumlah wang tebusan.

Susulan penemuan mayat wanita itu, seorang lelaki yang juga pekerja swasta berusia lingkungan 20-an ditahan di Ampang, pada 27 September lalu bagi membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dan lelaki itu dipercayai pasangan kekasih yang berkenalan melalui laman sosial sejak awal tahun ini dan motif pembunuhan disyaki ada kaitan dengan hutang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 5:10 PM