Kanak-kanak 10 tahun yang mendakwa cubaan culik semalam.
Kanak-kanak 10 tahun yang mendakwa cubaan culik semalam.
Noor Hidayah Tanzizi


POLIS menolak dakwaan berlaku kes cubaan culik membabitkan kanak-kanak lelaki oleh lelaki bertopeng menaiki van putih di Kampung Padang Tenggala, Bota seperti tular menerusi laman sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, pihaknya menerima laporan daripada kanak-kanak berusia 10 tahun itu semalam mengenai dakwaan cubaan culik berkenaan.

Menurutnya, kanak-kanak lelaki terbabit mendakwa ternampak van putih berhenti ketika dia berbasikal seorang diri dalam perjalanan pulang ke rumah Rabu lalu.

“Kanak-kanak itu mendakwa melihat van putih yang diletakkan di seberang jalan dan terdapat seorang lelaki keluar dari kenderaan itu dengan memakai topeng muka.

“Situasi itu menyebabkan dia berpatah balik dan menuju ke kedai runcit berhampiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Barudin berkata, hasil siasatan mendapati van itu adalah kepunyaan kontraktor pemotong rumput dan lelaki yang keluar dari kenderaan itu adalah pemotong rumput.

“Lelaki terbabit adalah pemotong rumput yang memakai topeng muka sebagai perlindungan ketika memotong rumput.

“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan tidak menularkan perkara yang boleh mendatangkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, tular di Facebook mengenai dakwaan kanak-kanak lelaki berbasikal seorang diri melalui jalan Bota-Parit di Dewan Kampung Tenggala yang ternampak van putih di parkir sebelum seorang lelaki memakai topeng keluar dari kenderaan itu sejak semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 8:04 PM