HARI Harimau Sedunia dimulakan sejak 2010 dan disambut setiap tahun pada 29 Julai.
HARI Harimau Sedunia dimulakan sejak 2010 dan disambut setiap tahun pada 29 Julai.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Adakah spesies Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) yang menjadi Jata Negara di ambang kepupusan? Ia mengambil kira bilangan pak belang yang terus menjunam kepada 150 kini berbanding 500 pada 2010.

Hari Harimau Sedunia disambut semalam dengan tema Mengukuhkan Kerjasama Demi Masa Depan Harimau Malaya membuktikan tekad 13 negara di dunia termasuk Malaysia bagi mempergiatkan usaha meningkatkan populasi harimau liar di negara masing-masing.

Sambutan Hari Harimau Sedunia adalah acara tahunan dimulakan sejak 2010 selepas dipersetujui 13 Ketua-Ketua Negara Tiger Range Countries (TRCs) yang menghadiri Global Tiger Summit di St. Petersburg, Rusia pada Oktober 2010.

Ia disambut setiap tahun pada 29 Julai bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat dunia mengenai kepentingan menjaga dan memulihara spesies harimau.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Harimau Malaya mengalami penurunan populasi berpanjangan di Semenanjung Malaysia sejak 1950-an.

"Pada sekitar 1950-an, populasi Harimau Malaya dianggarkan sebanyak 3,000 dan mengalami penurunan sehingga 500 pada 2010. Angka itu terus menurun kepada anggaran 250 hingga 340 pada tahun 2014.

"Harimau Malaya pada hari ini menghadapi kemerosotan populasi membimbangkan sehingga ke angka bawah 150 hasil program survey atau bancian populasi Harimau Malaya menerusi Program 1st National Tiger Survey yang dilaksanakan," katanya.

HARIMAU Malaya menghadapi kemerosotan populasi sehingga ke angka bawah 150.
HARIMAU Malaya menghadapi kemerosotan populasi sehingga ke angka bawah 150.

Menurutnya, pengurangan populasi Harimau Malaya disebabkan beberapa faktor seperti kehilangan habitat dan sumber makanan akibat pembukaan hutan dan perubahan guna tanah yang tidak seimbang.

"Selain itu, Harimau Malaya menjadi sasaran utama pemburuan dan perdagangan haram, konflik manusia dan harimau serta penularan virus canine distemper terhadap harimau," jelasnya.

Beliau berkata, Harimau Belang spesies kucing besar dan hanya terdapat secara semula jadi di benua Asia.

"Hanya enam daripada sembilan sub-spesies Harimau Belang sahaja masih hidup di habitat semula jadi di seluruh dunia manakala tiga sub-spesies daripadanya pupus.

"Harimau Malaya adalah sub-spesies endemik di Semenanjung Malaysia dan tiada di Sabah dan Sarawak. Bagi saya Malaysia bertuah kerana negara kita antara 13 TRCs yang dianugerahkan spesies harimau belang di habitat liar," katanya.

Beliau berkata, menyedari betapa seriusnya krisis dan nasib dihadapi Harimau Malaya, sembilan tindakan strategik dirangka Perhilitan iaitu meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan (boots on the ground) menubuhkan Special Response Team for Protected Area (Sparta) sebagai pasukan taktikal khas konflik Harimau Malaya, menubuhkan Malayan Tiger Task Force (MyTTF) dan Unit Pemuliharaan Harimau Malaya di bawah Perhilitan selain kerjasama Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

HARIMAU Malaya menjadi sasaran utama pemburuan dan perdagangan haram.
HARIMAU Malaya menjadi sasaran utama pemburuan dan perdagangan haram.

"Selain itu usaha difokuskan untuk memelihara habitat Harimau Malaya, memperkukuh makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan serta mekanisma insentif Ecological Fiscal Transfer (EFT) untuk Kerajaan Negeri serta meningkatkan pengurusan habitat Harimau Malaya melalui skim akreditasi.

"Usaha daripada sembilan tindakan ini tertumpu kepada menangani kemerosotan populasi, meningkatkan tadbir urus pengurusan spesies dan memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya.

"Ia pada asasnya menggabungkan sains pemuliharaan dengan penguatkuasaan di lapangan," katanya.

Beliau berkata, sembilan langkah ini memenuhi kriteria menyokong pelan pemulihan harimau di Malaysia dan ia mewakili komitmen Malaysia terhadap Deklarasi St. Petersburg di Rusia yang dipersetujui semua Ketua Negara TRCs pada 2010 untuk meningkatkan populasi harimau belang.

Semua TRCs bekerjasama menerusi perkongsian pengalaman dan pengetahuan dalam meningkatkan lagi pengurusan Harimau Belang terutama dalam aspek penyelidikan, penguatkuasaan, pengurusan konflik, pengurusan habitat harimau, kesedaran awam, dan ekopelancongan.

"Global Tiger Forum (GTF) pula badan bukan kerajaan antarabangsa yang banyak membantu menyelaras program latihan di luar negara dalam meningkatkan kapasiti kakitangan teknikal terutama di Jabatan Perhilitan dalam meningkatkan tadbir urus yang baik membabitkan pemuliharaan Harimau Belang," katanya.

Di samping itu Kadir berkata, Malaysia menjadi tuan rumah kepada 4th Asia Ministerial Conference on Tiger Conservation (AMC) 2022 yang memberi penekanan kepada kerjasama melibatkan TRCs bagi merealisasikan tindakan konservasi Harimau Belang dan habitatnya.

"Saya memohon semua rakyat Malaysia membantu Perhilitan melalui kempen menyelamatkan Harimau Malaya supaya spesies ini tidak pupus. Saya harap dalam masa lima tahun akan datang, populasi Harimau Malaya terus bertambah melebihi 150," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 12:30 PM