SPESIS Harimau Malaya yang semakin berkurangan. FOTO Ihsan PERHILITAN
SPESIS Harimau Malaya yang semakin berkurangan. FOTO Ihsan PERHILITAN
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


MALAYSIA kini berdepan krisis mendapatkan baka zuriat susulan bilangan harimau belang betina tempatan yang kian berkurang akibat ancaman aktiviti pemburuan haram dan pelbagai faktor lain lagi.

Situasi ini boleh menyebabkan bilangan harimau belang atau turut dikenali sebagai Harimau Malaya yang menjadi khazanah negara diancam kepupusan apatah lagi populasinya kini dianggarkan hanya sekitar 150 hingga 200 ekor.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Hari Harimau Sedunia 2020 disambut setiap 29 Julai dianggap cabaran besar bagi Perhilitan dalam memastikan `raja rimba' ini terus wujud dan membiak.

Beliau berkata, Harimau Malaya adalah warisan negara tidak ternilai dan perlu dilindungi sepenuhnya supaya ia tidak diancam kepupusan.

"Harimau Malaya atau Harimau Belang adalah hidupan liar yang terancam dan dilindungi sepenuhnya mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

"Malah berdasarkan International Union for Conservation of Nature (IUCN), Harimau Malaya diletakkan dalam senarai merah spesis sangat terancam," katanya.

Menurutnya, Harimau Malaya akan pupus buat selama-lamanya jika usaha tidak diambil bagi melindungi dan meningkatkan populasinya.

"Hasil dapatan awal Survei Harimau Kebangsaan (2016 – 2020) yang dijalankan oleh Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, populasi harimau kini adalah kurang daripada 200 ekor.

"Data ini menunjukkan populasi Harimau Malaya berada pada tahap yang sangat membimbangkan. Pengurangan populasi Harimau Malaya berpunca beberapa faktor seperti pengurangan habitat dan kawasan keliaran akibat aktiviti pembukaan hutan serta perubahan guna tanah.

"Selain itu, Harimau Malaya juga menjadi sasaran utama aktiviti pemburuan dan perdagangan haram disebabkan permintaannya yang tinggi di pasaran gelap," katanya.

Menurutnya, penggunaan jerat secara agresif oleh pemburu haram menyebabkan pelbagai spesis haiwan yang menjadi makanan Harimau Malaya berkurangan di dalam hutan.

"Ini memberi gangguan kepada populasi Harimau Malaya. Malah di beberapa kawasan hutan simpan, bilangan harimau jantan mendominasi lokasi.

"Kekurangan harimau betina turut menyebabkan berlaku masalah kemerosotan bilangan Harimau Malaya. Bagaimanapun Perhilitan berusaha mengatasi masalah ini dengan menyedarkan masyarakat Malaysia mengenai kebimbangan penurunan populasi Harimau Malaya ini."

Pihak KeTSA melalui Perhilitan mengadakan Kempen Selamatkan Harimau Malaya selama 2 tahun iaitu antara 2019 hingga 2020 dengan tema khusus iaitu 'Selamatkan Harimau Malaya'.

"Kempen ini dilaksanakan bagi membuktikan usaha dan inisiatif Kerajaan dalam usaha pemuliharaan Harimau Malaya. Kempen ini juga menggalakkan lebih ramai pihak terbabit dan bekerjasama dengan kerajaan memulihara Harimau Malaya," katanya.

Kadir berkata, sebagai komitmen kepada langkah pemuliharaan Harimau Malaya di Malaysia, kerajaan memperkenal dan melaksanakan Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (National Tiger Conservation Action Plan, NTCAP) 2008 –2020 di mana matlamat utama pelan ini adalah untuk menggandakan populasi harimau liar di Malaysia.

"Menerusi pelan ini, empat strategi diwujudkan untuk memastikan kelangsungan populasi liar harimau di Malaysia iaitu perlindungan habitat, perlindungan spesis, pengurusan konflik manusia - harimau dan penyelidikan.

"Usaha ini tidak mungkin berhasil tanpa sokongan dan sumbangan badan korporat antaranya Yayasan Albukhary, Ranhill Capital Sdn. Bhd., Gamuda Land Sd. Bhd., Berjaya Corporation, Dhaya Maju Infrastructure Asia( ASIA) SD, Wildlife Society of Selangor, Nuvista Media, Rimbun Hybridtv Broadcast Sdn. Bhd, AEON (M) Sdn Bhd, AirAsia dan pelbagai agensi serta orang perseorangan," katanya.

Harimau Malaya adalah spesies ikonik Negara Malaysia yang menjadi lambang keberanian, integriti dan perpaduan nasional. Simbol-simbol rasmi Negara seperti Jata Negara atau logo agensi kerajaan dan swasta turut menggunakan Harimau Malaya sebagai ikon.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 9:22 AM