KERA mencatatkan 439 kes terbunuh di atas jalan raya.
KERA mencatatkan 439 kes terbunuh di atas jalan raya.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Rekod mengejutkan apabila jumlah haiwan liar mati akibat kemalangan jalan raya lebih tinggi berbanding dibunuh pemburu haram di negara ini dan jumlahnya didapati terus
meningkat saban tahun.

Perkara itu diakui Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim yang melahirkan kebimbangan susulan peningkatan kes langgar haiwan liar.

Menurutnya, spesies hidupan liar di Semenanjung seperti harimau, tapir, rusa, kera, kucing hutan, ular, tapir, beruang dan kambing gurun antara spesies kerap menjadi mangsa.

“Terbaru seekor kucing hutan atau dikenali sebagai Asian Leopard Cat dilaporkan mati akibat dirempuh motosikal motosikal di Guar Jentik, Perlis.

“Besar kemungkinan penunggang motosikal itu tidak sempat mengelak sebelum merempuh mati kucing itu,” katanya.

KUCING batu yang mati akibat dilanggar motosikal  di Perlis, baru baru ini.
KUCING batu yang mati akibat dilanggar motosikal di Perlis, baru baru ini.

Dalam satu lagi kes berasingan minggu lalu, pihak PERHILITAN negeri Sembilan turut menerima laporan seekor tapir berkeliaran di kawasan Ulu bendul, Kuala Pilah.

“Haiwan itu dalam keadaan kaki cedera dipercayai akibat kemalangan. Haiwan itu kemudian berjaya ditangkap sebelum dipindahkan
ke dalam kurungan sementara di pejabat PERHILITAN untuk tujuan rawatan dan pemantaun selanjutnya oleh doktor Veterinar.

“Kejadian haiwan liar
mati dilanggar ini turut menyumbang kepada penyusutan populasi hidupan liar di negara ini berbanding 20 tahun lalu.

“Kebiasaannya haiwan liar menceroboh laluan lebuh raya berpunca daripada aktiviti manusia yang menyebabkan haiwan ini kehilangan habitat, pemburuan haram, konflik manusia dan hidupan liar selain isu pemanasan global.

Menurutnya, berdasarkan rekod Jabatan PERHILITAN dari tahun 2,012 hingga 2017, kemalangan membunuh 2,444 ekor pelbagai hidupan liar dilindungi.

ANTARA haiwan liar dilindungi yang mati akibat dilanggar kenderaan sebelum ini.
ANTARA haiwan liar dilindungi yang mati akibat dilanggar kenderaan sebelum ini.

“Ia membabitkan kejadian di jalan Persekutuan, lebuh raya dan jalan negeri. Siasatan PERHILITAN mendapati laluan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), LPT2 dan Jalan Mersing paling kerap berlaku kemalangan ini.

“Spesies hidupan liar tertinggi yang dicatatkan terbabit dalam kemalangan adalah biawak (765), musang (446), kera (439), babi hutan (265), ular ( 147) dan kucing batu ( 88).

“Kes kematian kemalangan turut membabitkan spesies utama terancam seperti tapir (68), beruang matahari (6), gajah (4), kambing gurun (2), harimau kumbang (2) dan harimau belang (1),” katanya.

Menurutnya, haiwan liar biasanya melintasi jalan raya atau lebuh raya dibina melintasi kawasan hutan bagi tujuan mencari makanan, mencari pasangan untuk membiak, mengelak kesan gangguan ke atas habitat dan mencari habitat baru sesuai.

“Pembangunan guna tanah atas pelbagai tujuan menyebabkan berlaku kehilangan, fragmentasi habitat hidupan liar dan seterusnya memberi kesan kepada berlakunya pemisahan habitat,” katanya.

Menurutnya PERHILITAN berusaha mengurangkan kadar kemalangan ini dengan memasang 280 papan tanda lintasan hidupan liar, 37 set transverse bar dan 24 unit solar amber light di lokasi kerap berlaku kemalangan dan lintasan hidupan liar dengan bantuan Jabatan Kerja Raya.

“Pembinaan viaduct (lintasan hidupan liar) turut dibina di Sungai Deka, Terengganu, Sungai Yu, Pahang dan Gerik, Perak.

“Malah kami memplot kawasan-kawasan hotspot ini di dalam aplikasi Waze sebagai peringatan kepada pemandu supaya memperlahankan kenderaan di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, PERHILITAN sentiasa mengharapkan kerjasama semua pihak melaporkan sebarang kemalangan jalan raya itu dengan menghubungi talian 1-800-88-5151 (setiap Isnin hingga Khamis) atau melalui portal e-aduan www.wildlife.gov.my bagi tujuan pengurusan bangkai dan kutipan data.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 8:13 AM