KECANTIKAN belang pada Harimau Malaya menjadi tumpuan pemburu haram. - Foto Jake Leong/MYCAT
KECANTIKAN belang pada Harimau Malaya menjadi tumpuan pemburu haram. - Foto Jake Leong/MYCAT
KULIT harimau yang dirampas ketika operasi perdagangan haram haiwan itu. - Foto Akira Leyow/TRAFFIC
KULIT harimau yang dirampas ketika operasi perdagangan haram haiwan itu. - Foto Akira Leyow/TRAFFIC
SUKARELAWAN CAT melakukan tinjauan ke atas haiwan liar itu. - Foto Harrison Ooi/MYCAT
SUKARELAWAN CAT melakukan tinjauan ke atas haiwan liar itu. - Foto Harrison Ooi/MYCAT
ORANG ramai menunjukkan sokongan ke atas pemuliharaan harimau Malaya. - Foto MYCAT
ORANG ramai menunjukkan sokongan ke atas pemuliharaan harimau Malaya. - Foto MYCAT
Oleh Siti Salmiah A Hamid


Negara memiliki subspesies harimau yang unik jenis Harimau Malaya dengan nama saintifiknya Panthera tigris jacksoni sempena nama tokoh pemuliharaan terkenal, Peter Jackson sebagai memperingati usaha dan jasanya menyelamatkan hidupan liar ini.

Saintis dari Makmal Kepelbagaian Genetik Institut Kanser Negara di Amerika Syarikat menjalankan analisis deoxyribonucleic acid (DNA) terhadap pelbagai sampel darah, kulit dan bulu yang diambil daripada 134 harimau yang ditangkap di rantau Asia.

Malah, sesetengah spesimen dalam kajian itu diperoleh daripada harimau yang ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam situasi konflik manusia-harimau dan ia adalah daripada baka tulen.

Saintis terbabit juga mendapati jenis harimau di Semenanjung Malaysia tidak dijumpai di tempat lain atau di luar negara ini.

Kita semua bangga dengan spesies Harimau Malaya ini, apatah lagi ia dikenali serata dunia kerana memiliki belang yang unik.

Ia bukan saja menjadi lambang eksklusif bagi institusi ataupun organisasi tertentu, bahkan disemarakkan lagi sebagai identiti negara dalam sukan bola sepak. Harimau Malaya sinonim untuk menggambarkan betapa kegagahan, keberanian dan semangat juang yang tinggi.

Namun, hari ini Harimau Malaya atau dikenali sebagai harimau belang mungkin masih boleh dilihat di beberapa zoo di negara kita. Hakikatnya, bilangan hidupan liar yang menjadi kebanggaan kita ini semakin kritikal dan meruncing.

Pakar menganggarkan kini hanya terdapat kira-kira 250 hingga 340 Harimau Malaya di Semenanjung Malaysia berdasarkan kajian yang dijalankan sejak 2010 hingga 2013.

Hasil kajian ini menunjukkan bahawa anggaran populasi semasa adalah kurang berbanding anggaran sebelum ini iaitu sebanyak 500 ekor harimau di Semenanjung Malaysia.

Hasil kajian terbaru ini menunjukkan Harimau Malaya memenuhi kriteria yang dilabelkan sebagai Spesies Terancam Tahap Kritikal di bawah Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN). Terdahulu, spesies ini hanya tersenarai sebagai spesies terancam sejak 2008.

Sasaran asal Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCAP) yang dilancarkan pada 2008 adalah untuk mempunyai 1,000 ekor Harimau Malaya di habitat asal di seluruh Semenanjung Malaysia menjelang 2020.

Namun, sasaran ini dilihat tidak mampu dicapai dalam jangka masa ditetapkan berdasarkan keputusan kajian serta disebabkan faktor luaran yang menjurus kepada kepupusannya.

Wujud pelbagai ancaman hingga menyebabkan populasi haiwan ini semakin berkurangan yang disebabkan beberapa faktor iaitu kemusnahan habitat, pemburuan haram dan perdagangan, kurangnya sumber makanan dan konflik manusia-harimau.

Kemusnahan dan kehilangan habitat

Meskipun negara memiliki 45 peratus litupan hutan di kawasan tanahnya, selain habitat lain yang menampung kawasan harimau tetapi jelas pengambilalihan sebahagian besar hutan tanah pamah adalah punca kemerosotan kebanyakan mamalia besar seperti gajah dan beruang termasuk harimau.

Walaupun ekonomi utama sudah beralih daripada sektor perhutanan kepada sektor industri dan perkhidmatan, ancaman kekurangan bilangan harimau tidak semestinya disebabkan kehilangan habitat semata-mata, sebaliknya ia juga adalah kesan daripada pemecahan hutan akibat pembinaan jalan dan lebuh raya, laluan kereta api dan komuter serta saluran paip yang dilihat sebagai ancaman berpanjangan.

Rizab hutan negara turut ditarah dan diluaskan sebagai tapak pertanian, selain dijadikan laluan balak yang meningkatkan kepupusan populasi mamalia ini.

Pemburuan haram dan perdagangan

Aspek pemburuan dan perdagangan haram tidak kurang hebatnya kerana ia penyebab impak buruk dalam jangka masa pendek. Bilangan harimau berkurangan akibat kegiatan ini kerana ia diburu di habitat asalnya.

Namun, jumlah tangkapan pemburu haram dan penemuan haiwan ini yang ditangkap secara haram jarang terpampang di dada akhbar termasuklah kes pemilikan secara haram anggota badan haiwan ini.

Angka sebenar mungkin lebih tinggi, tetapi sukar untuk mengesan kes ‘panas’ Meskipun tiada jumlah sebenar harimau diburu secara haram, kelihatan jelas aktiviti ini masih berterusan hingga mengurangkan populasi harimau sehingga kini.

Anggota badan harimau termasuk tulang, darah, organ seks dan bahagian lain masih digunakan dalam perubatan tradisional yang dipercayai mampu menyembuhkan penyakit.

Tulang harimau dikatakan paling berharga berbanding kulit. Di beberapa negara, kulit harimau, teng­korak, kuku dan gigi taringnya dibuat tangkal dan diperdagangkan sebagai trofi manakala dagingnya dijadikan hidangan eksotik di restoran.

Kekurangan sumber makanan

Harimau si pemakan daging berada dalam kelompok karnivor. Justeru, tiga sumber makanan utama haiwan ini di dalam hutan adalah babi hutan, kijang dan rusa.

Ketiga-tiga sumber makanan harimau ini turut diburu manusia secara sah hanya dengan mendapatkan lesen daripada PERHILITAN.

Namun, ketamakan manusia turut menyebabkan sumber makanan harimau semakin berkurangan apabila ia diburu di luar tempoh perburuan, melebihi had, memburu tanpa lesen dan memburu haiwan dalam hutan perlindungan.

Konflik manusia-harimau

Timbul konflik apabila tempat tinggal manusia dan harimau bertindan. Manusia bersaing dengan harimau untuk ruang dan makanan. Situasi begini wujud apabila manusia membuka kawasan pertanian dan ternakan yang hampir dengan kawasan habitat harimau terutama di pinggir hutan.

Akibatnya boleh menyebabkan kematian ternakan dan manusia itu sendiri, tetapi ia jarang berlaku apabila harimau itu dipindahkan atau dibunuh.

Pemuliharaan

Usaha konservasi dilakukan bagi melindungi hidupan liar ini terutama di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 yang mengklasifikasikan harimau Malaya sebagai spesies buruan yang dilindungi dan pada 1976, status itu diubah kepada haiwan yang dilindungi sepenuhnya.

Usaha mengekalkan hutan simpan di Semenanjung Malaysia dilihat membantu menambah populasi haiwan ini apabila lebih 90 peratus daripada kawasan hutan tinggal adalah Hutan Simpanan Kekal yang diselia Jabatan Perhutanan atau Kawasan Perlindungan yang diselia PERHILITAN.

Landskap terbesar Taman Negara berperanan sebagai populasi terbesar harimau belang. Ia mengunjur dari hutan pamah ke hutan bukit dipterokap di Malaysia meliputi hutan simpan yang mengelilingi Taman Negara.

Beberapa zoo terutama Zoo Melaka turut menyediakan kemudahan pembiakan harimau dalam kurungan bagi meluaskan populasi haiwan ini dalam negara.

Koordinator Pejabat Sekretariat Pakatan Pemuliharaan Harimau Malaysia (MYCAT), Wong Pui May berkata, organisasi ini ditubuhkan untuk memastikan kemandirian harimau belang berterusan.

“Usaha konservasi hidupan liar ini terus menerima cabaran. Justeru, bagi menangani situasi ini, PERHILITAN dan MYCAT bukan saja mengukuhkan mekanisme sedia ada, malah mengkaji semula usaha yang pernah dilaksanakan untuk mengenal pasti kekurangannya.

“Malaysia melaksanakan pelbagai polisi melalui pelaksanaan NTCAP dan Pelan Induk CFS untuk mengukuhkan konservasi Harimau Malaya dan pengurusan habitatnya.

“Sehingga kini, Kerajaan Persekutuan dan penderma NGO MYCAT memperuntukkan pelbagai pembiayaan bagi membolehkan pihak berkepentingan menjalankan tinjauan bersistematik di kawasan perlindungan.

“Pendekatan ini dilihat membantu meningkatkan pengetahuan saintifik khususnya dalam pengurusan Harimau Malaya dan menyambung kembali habitat yang terpisah melalui kewujudan koridor ekologi,” katanya.

INFO

Harimau Malaya @ harimau belang

- Nama saintifik Panthera tigris jacksoni.

- Dinamakan sempena tokoh pemuliharaan harimau terkenal, Peter Jackson.

- Dalam keluarga mamalia.

- Terdapat di Semenanjung Malaysia.

- Kira-kira 250 hingga 340 yang tinggal berdasarkan kajian sejak 2010 hingga 2013.

- Ancaman utama termasuk pemburuan haram dan perdagangan di pasaran gelap serta hilang habitat.

- Tulang, darah, organ seks dan bahagian tertentu digunakan dalam perubatan tradisional manakala dagingnya dijadikan hidangan eksotik.

Tindakan Rakyat untuk Harimau

- Dari 9 hingga 23 Mac 2015, Tindakan Rakyat untuk Harimau (CAT) mengambil bahagian dalam proses pengundian antarabangsa dianjurkan Persatuan Pemuliharaan Alam Semulajadi Eropah (EOCA3).

- Program yang mendapat undian terbanyak akan memenangi geran bernilai RM118,214.

- Jika program CAT menerima undian terbanyak, pihak MYCAT dapat mengembangkan program dan menambah bilangan sukarelawan ke Koridor Hidupan Liar Sungai Yu di Pahang.

- Koridor itu menghubungkan Taman Negara - kawasan teras Harimau Malaya terbesar dengan Banjaran Titiwangsa. Ia membentuk landskap harimau kelima terbesar di dunia.

- Layari www.malayantiger.net untuk mengetahui bagaimana anda boleh melakukan perubahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:26 AM