PEGAWAI Perhilitan merampas kulit harimau Malaya dari sebuah kediaman mewah di Jalan Tun
PEGAWAI Perhilitan merampas kulit harimau Malaya dari sebuah kediaman mewah di Jalan Tun
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Sengaja simpan dan pamer kulit harimau belang pada dinding rumah didiami. Itu tindakan seorang lelaki yang ditahan pihak polis dan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selepas didapati memiliki kulit haiwan liar dilindungi itu.

Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, tindakan menyimpan kulit harimau dianggarkan bernilai lebih RM100,000 itu dibongkar hasil Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) 2022 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Beliau berkata, seramai empat pegawai Perhilitan bersama lima anggota serta pegawai Bahagian Perisikan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) melakukan pemeriksaan mengejut di sebuah kediaman mewah di Jalan Tun Razak di sini.

"Dalam operasi jam 12 tengah hari itu, pihak kami melakukan siasatan susulan aduan berhubung pemilikan kulit Harimau Belang di kediaman itu.

"Susulan itu pemilik kediaman warga tempatan berusia 40-an diberkas untuk siasatan lanjut. Pihak kami kemudian merampas barang kes membabitkan iaitu sekeping kulit disyaki Harimau Belang," katanya.

Beliau berkata, siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada kulit harimau itu adalah spesis tempatan selain sumber ia diperolehi.

Kadir berkata, pihaknya kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sebelum barang kes dirampas dan dibawa ke pejabat Perhilitan Wilayah Persekutuan.

PEGAWAI Perhilitan merampas kulit harimau Malaya dari sebuah kediaman mewah di Jalan Tun
PEGAWAI Perhilitan merampas kulit harimau Malaya dari sebuah kediaman mewah di Jalan Tun

"Suspek yang disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kini dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.

Jumaat lalu, negara menyambut Hari Harimau Sedunia dengan tema Mengukuhkan Kerjasama Demi Masa Depan Harimau Malaya selain usaha meningkatkan populasi harimau Malaya di negara ini yang berbaki 150 ekor.

Kadir berkata, Harimau Malaya mengalami penurunan populasi berpanjangan di Semenanjung Malaysia sejak 1950-an kesan dari pemburuan haram, isu guna tanah dan pencerobohan hutan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 7:01 AM