PENUNJUK perasaan yang memasuki kediaman rasmi perdana menteri Sri Lanka di Colombo. FOTO Reuters
PENUNJUK perasaan yang memasuki kediaman rasmi perdana menteri Sri Lanka di Colombo. FOTO Reuters
AFP

Colombo: Tanpa mempedulikan anggota keselamatan yang menggunakan meriam air dan gas pemedih api, penunjuk perasaan Sri Lanka menyerbu pejabat perdana menteri selepas presiden melarikan diri ke luar negara.

Dalam satu siaran televisyen, Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe berkata, beliau mengarahkan tentera dan polis melakukan apa yang perlu bagi mengawal dan memulihkan keadaan darurat yang melanda negara itu.

Namun, keadaan menjadi semakin buruk apabila sebahagian penunjuk perasaan merempuh studio televisyen negara.

Polis berkata, seorang penunjuk perasaan terbunuh kerana lemas akibat gas pemedih mata.

Awal Rabu lalu, rakyat Sri Lanka kembali memenuhi koridor kediaman rasmi presiden selepas beliau melarikan diri ke luar negara.

Pesara, Kingsley Samarakoon, 74, berkata, mereka menyerbu kediaman pemimpin yang dianggap menyeleweng wang rakyat.

"Mereka mencuri terlalu banyak wang. Saya berharap Sri Lanka segera pulih," katanya.

Hujung minggu lalu, Presiden Gotabaya Rajapaksa, 73, berjanji beliau akan meletak jawatan semalam, selepas melarikan diri dari kediaman rasminya di Colombo sebelum puluhan ribu penunjuk perasaan mengambil alih kawasan itu.

Wickremesinghe, 73, secara automatik akan menjadi pemangku presiden jika Rajapaksa berundur, namun mengumumkan kesediaannya meletak jawatan jika konsensus dicapai untuk membentuk kerajaan perpaduan.

"Kita tidak boleh merobek perlembagaan," katanya dalam kenyataannya.

Proses menggantikan presiden baharu mengambil masa antara tiga hari iaitu masa minimum yang diperlukan untuk parlimen memilih ahli parlimen bagi memenuhi penggal Rajapaksa, yang berakhir pada November 2024, dan maksimum 30 hari dibenarkan di bawah undang-undang.

Rajapaksa didakwa salah guna kuasa dalam mengurus ekonomi sehingga negara kehabisan pertukaran mata wang asing untuk membiayai import yang paling penting sekali gus menyusahkan 22 juta penduduknya setiap hari.

Sri Lanka gagal membayar hutang luar negeri sebanyak AS$51 bilion (RM226.41 bilion) April lalu dan sedang berbincang dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menyelamatkan krisis.

Negara pulau ini hampir kehabisan bekalan petrol.

Kerajaan juga mengarahkan penutupan pejabat dan sekolah yang tidak penting untuk mengurangkan perjalanan dan menjimatkan bahan api.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 7:00 AM