Oleh Nazdy Harun


Kuala Berang: Dari luar pusat pelupusan sampah di Batu 24, di sini, hanya menyajikan pemandangan biasa dan bau kurang menyenangkan, namun sebenarnya menjadi lubuk rezeki buat beberapa individu demi sesuap nasi bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Pemungut sampah Hasan Dollah, 66, dari Wakaf Tapai, Marang, berkata, dia melakukan kerja mencari barangan lusuh sejak enam tahun lalu di tapak pelupusan sampah berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini dia hanya melakukan kerja kampung, namun beralih mencari rezeki di tapak pelupusan sampah berikutan faktor usia.

"Setiap tiga hari saya memperoleh pendapatan kira-kira RM250 selepas barangan lusuh yang dikumpul dijual kepada pembeli yang datang mengambil barangan berkenaan.

"Kerja pun mudah kerana hanya perlu menyelongkar sampah yang diturunkan oleh lori di tapak pelupusan ini berbanding mencari barangan lusuh di dalam tong sampah," katanya yang melakukan kerja memungut barangan lusuh bersama isterinya Senah Salleh, 67.

Katanya, sepanjang memungut barangan lusuh di tapak pembuangan sisa pepejal itu, dia pernah menemui barangan kemas dan wang, namun jumlahnya tidak begitu tinggi.

KOTAK terpakai antara barangan terbuang yang boleh dijual. FOTO GHAZALI KORI
KOTAK terpakai antara barangan terbuang yang boleh dijual. FOTO GHAZALI KORI

Rakannya, Adnan Hamzah, 48, dari Kampung Bukit Ara, di sini, berkata, dia pernah menemui gelang emas bernilai RM1,500 beberapa tahun lalu.

"Sepanjang 22 tahun mencari barangan di tapak pelupusan sampah ini, sudah beberapa kali saya menemui barang kemas dan wang.

"Itu semua adalah 'bonus' buat kami kerana bukan selalu boleh menemui barangan seperti itu, malah yang utama adalah barangan lusuh yang boleh dijual sebagai pendapatan," katanya.

Menurutnya, setiap tiga hari pembeli akan datang membeli barangan lusuh di tapak pelupusan sampah itu dan dalam tempoh berkenaan dia mampu memperoleh pendapatan RM250 hingga RM300.

"Dari luar ia hanya sekadar tempat pelupusan sampah, namun saya anggap ia sebagai lubuk rezeki untuk menyara keluarga," katanya.

Sementara itu, pembeli barangan lusuh Wan Bardin Wan Hitam, 60, berkata, dia bukan hanya membeli barangan lusuh, malah akan cuba membantu apabila mengetahui mereka memerlukan wang untuk perbelanjaan kesihatan atau persekolahan anak-anak kerana pemungut sampah itu hidup susah.

"Kita tahu pasal mereka, apa salahnya saya membantu dan hingga kini terdapat tujuh pemungut sampah yang melakukan kerja mencari barangan lusuh di tapak pelupusan ini," katanya.

Pembeli mengangkat barangan lusuh yang dibeli daripada pemungut sampah di tapak pelupusan sampah di Batu 24, Ajil. Sebanyak 3 tan barangan yang dikitar semula berjaya dikumpulkan untuk tempoh sebulan dan dijual kepada pihak kilang. FOTO GHAZALI KORI
Pembeli mengangkat barangan lusuh yang dibeli daripada pemungut sampah di tapak pelupusan sampah di Batu 24, Ajil. Sebanyak 3 tan barangan yang dikitar semula berjaya dikumpulkan untuk tempoh sebulan dan dijual kepada pihak kilang. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 12:00 PM
HASSAN mencari rezeki dengan mengumpul barangan lusuh untuk  dijual kepada pembeli di tapak pelupusan sampah di Batu 24, Ajil. FOTO GHAZALI KORI
HASSAN mencari rezeki dengan mengumpul barangan lusuh untuk dijual kepada pembeli di tapak pelupusan sampah di Batu 24, Ajil. FOTO GHAZALI KORI