VINCENT memastikan barangan terpakai yang disumbangkan boleh digunakan sama ada untuk dijual ataupun didermakan kepada golongan memerlukan. FOTO NSTP
VINCENT memastikan barangan terpakai yang disumbangkan boleh digunakan sama ada untuk dijual ataupun didermakan kepada golongan memerlukan. FOTO NSTP
Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Bagi memupuk semangat sayangkan alam sekitar, seorang juruaudit sanggup meninggalkan kerjaya itu semata-mata mahu aktif dalam aktiviti kitar semula menerusi program UrbanR Recycle dianjurkannya.

Vincent Chung, 30, pengasas program UrbanR Recycle berkata, minatnya mengumpul barangan kitar semula bermula sebagai hobi pada 2012.

Namun apa yang lebih penting bagi Vincent hasil jualan barangan kitar semula yang dikumpul dapat digunakan untuk membiayai program kemasyarakatan, sosial dan membantu golongan kurang bernasib baik.

Menurutnya, bagi menjayakan program itu dia bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak menerima sumbangan barangan terpakai termasuk pakaian.

Bekas juruaudit itu memberitahu, dia membuka ruang niaga di sebuah pusat beli-belah di Taman Shamelin di sini, sebagai pusat pengumpulan barangan kitar semula yang diterima daripada NGO.

PELBAGAI barangan terpakai  disumbangkan orang ramai. FOTO NSTP
PELBAGAI barangan terpakai disumbangkan orang ramai. FOTO NSTP

“Kami menerima apa saja barang, kemudian dinilai sama ada masih berharga jika mahu dijual atau boleh digunakan bagi tujuan lain.

“Bagi pakaian terbuang masih dalam keadaan elok akan didermakan kepada rumah kebajikan atau golongan memerlukan.

“Malah jika ada permintaan kami membaiki televisyen terbuang yang kemudian disumbangkan kepada individu kurang berkemampuan,” katanya.

Jelasnya, setiap hari penduduk negara ini menghasilkan lebih 15,000 tan sampah dan jika semua dikumpul di satu kawasan, ia cukup untuk memenuhi Menara Berkembar PETRONAS (KLCC) dalam masa cuma sembilan hari.

Katanya, secara purata, setiap rakyat Malaysia membuang 0.8 kilogram (kg) sampah setiap hari dan bahan buangan itu perlu dilupuskan di tapak yang dikhususkan.

“Ada 230 tapak pelupusan sampah di seluruh negara dan jangka hayat kawasan berkenaan akan berakhir tidak lama lagi. Jadi ke mana mahu buang sampah selepas ini, setiap hari jumlah bahan buangan direkodkan semakin meningkat.

“Berikutan itu amalan kitar semula adalah langkah berkesan dalam usaha mengurangkan jumlah sampah dihantar ke tapak pelupusan.

“Secara tak langsung ruang di tapak pelupusan dapat dijimatkan, sekali gus memanjangkan lagi jangka hayat tapak berkenaan,” katanya.

BARANGAN terpakai yang dikumpulkan UrbanR Recycle. FOTO NSTP
BARANGAN terpakai yang dikumpulkan UrbanR Recycle. FOTO NSTP

Dia memberitahu, amalan kitar semula juga mampu mengurangkan penggunaan bahan semula jadi dan jika bijak bahan buangan berkenaan boleh membantu menjana pendapatan.

Pencinta alam sekitar itu memberitahu, UrbanR Recycle menjalankan aktiviti kitar semula barangan terbuang sambil beramal dan mereka menerima apa saja barangan terbuang termasuk kertas, bekas kotak minuman, jam, kalkulator serta botol plastik.

Antara barangan kitar semula lain yang berharga adalah bahan berasaskan aluminium seperti tin minuman, botol kaca dan bateri telefon bimbit.

“Tetapi kami minta kerjasama orang ramai supaya bersihkan dulu barangan berkenaan sebelum dihantar ke pusat pengumpulan kami,” katanya.

SUKARELAWAN UrbanR Recycle mengasingkan  barangan kitar semula yang diserahkan orang ramai. FOTO NSTP
SUKARELAWAN UrbanR Recycle mengasingkan barangan kitar semula yang diserahkan orang ramai. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 10:04 AM