Baharom Bakar

Kuala Berang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bercadang menubuhkan pasukan penguatkuasa tidak beruniform bagi menangani isu peniaga menaikkan harga barang.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ini bagi membolehkan anggota penguat kuasa melakukan penyamaran selepas menerima aduan berkaitan daripada pengguna.

"Kita ada menerima aduan mengenai kenaikan harga barangan, tetapi peniaga menurunkan harga secara automatik termasuk menukar tanda harga apabila pegawai penguat kuasa tiba di kedai mereka.

"Keadaan itu menyukarkan tindakan undang-undang diambil apabila peniaga melupuskan bukti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Landas, Ajil, di sini, hari ini.

ROSOL (tengah) beramah mesra bersama penduduk semasa meninjau program outreach Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sekolah Menengah Landas, Ajil. FOTO Ghazali Kori
ROSOL (tengah) beramah mesra bersama penduduk semasa meninjau program outreach Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sekolah Menengah Landas, Ajil. FOTO Ghazali Kori

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Maliaman Kassim dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Ahmad Azizi Zulkifli.

Pada program itu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu turut menyumbangkan lima kipas angin selain menaja sarapan pagi dan tengah hari kepada 120 petugas termasuk pasukan perubatan.

Rosol berkata, setakat ini pihaknya bersetuju menubuhkan pasukan penyamaran berkenaan seperti dicadangkan pengguna.

"Cadangan penubuhan pasukan penyamaran sangat baik dan boleh dipertimbangkan kerana pengguna rasa tertipu dengan mainan harga oleh peniaga," katanya.

Katanya, KPDNHEP mempunyai pegawai dan anggota penguat kuasa yang melakukan penyamaran, tetapi lebih banyak ditumpukan kepada kes penyeludupan.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 7:47 PM