KAKI Mohd  Yusfazley kembali bersaiz normal selepas dibedah pada 2020.
KAKI Mohd Yusfazley kembali bersaiz normal selepas dibedah pada 2020.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kuala Lumpur: Selama 16 tahun Mohd Yusfazley Mohamed Yusof berdepan masalah untuk bergerak akibat menghidap penyakit 'kaki gajah' namun kini, dia sudah sihat, malah menjadi pemandu e-hailing bagi menyara keluarga.

"Selama 16 tahun saya 'hidup' bersama kaki gajah. Hanya Allah SWT saja yang tahu penderitaan ditanggung. Bukan saja sukar berjalan, bahkan saya perlu menahan sakit berdenyut-denyut yang menyerang setiap kali bengkak kaki mengeras," katanya.

Menurut Mohd Yusfazley, 37, dia menghidap penyakit itu sejak 2004 selepas mendaki Bukit Larut, Perak.

Katanya, selepas pulang daripada mendaki, kaki kirinya mengalami kegatalan.

Pemeriksaan kali pertama di sebuah klinik memaklumkan dia mengalami alahan.

"Lama kelamaan kaki membengkak selain betis bernanah. Penyakit ini semakin teruk sebelum saya menjalani pembedahan di sebuah hospital di utara tanah air untuk membuang nanah di betis pada 2006.

"Pada 2010, sekali lagi saya menjalani pembedahan di bahagian vaskular kerana terdapat urat dan saraf yang rosak.

"Saya berulang-alik ke hospital sehingga 2019 dan ketika itu, doktor mencadangkan supaya kaki kiri dipotong kerana keadaannya semakin teruk. Doktor juga tidak dapat mengenal pasti punca sebenar penyakit saya," katanya.

Menurut Mohd Yusfazley, dia menolak cadangan untuk memotong kaki dan kemudiannya merujuk penyakitnya itu di sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor pada tahun yang sama.

"Pada Jun 2020, saya menjalani pembedahan Charles Procedure iaitu pembedahan membuang tisu dan kulit tidak normal.

"Bahagian luka dibalut semula menggunakan graf kulit selain menjalani negative pressure wound therapy untuk membantu luka serta graf sembuh dengan baik.

"Pembedahan ini berlangsung selama 12 jam dan saya bersyukur kerana prosesnya berjalan lancar serta selamat," katanya.

Mohd Yusfazley berkata, dalam pemeriksaan susulan dilakukan pada Ogos 2020, doktor memaklumkan dia sudah pulih daripada penyakit kaki gajah.

"Saya bersyukur kerana sembuh. Allah SWT memberi saya peluang untuk menikmati hidup secara normal.

"Saya juga baru mendirikan rumah tangga dan kini dapat bekerja dengan lebih baik sebagai pemandu e-hailing untuk menyara keluarga," katanya.

Selepas kaki kiri pulih, diuji di kaki kanan pula

"Bengkak kaki kiri saya sebesar tempayan.

"Keadaan ini memaksa saya berjalan secara menyeret untuk membawa 'beban' lebihan daging seberat 38 kilogram (kg)," kata Muhammad Izani Mat Jais.

Muhammad Izani, 29, yang berasal dari Kelantan menghidap penyakit 'kaki gajah' ketika berusia 15 tahun.

Menurut Muhammad Izani, penderitaannya memiliki kaki gajah berakhir selepas menjalani pembedahan selama 13 jam bagi membuang lebihan daging menerusi Charles Procedure pada 2017.

Ia prosedur membuang semua isi dan kulit yang tidak normal sehingga ke lapisan otot kaki.

Luka yang terhasil pula ditutup dengan graf kulit yang diambil pada bahagian kulit.

Lebihan daging Muhammad Izani yang berjaya dibuang itu kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paloh Rawa, Kelantan.

Kata Muhammad Izani, sebelum menjalani pembedahan, dia cukup tertekan sehingga berasakan mahu memotong kakinya kerana belum lagi bertemu dengan pakar yang dapat merawatnya.

"Hidup bersama kaki yang besar membuatkan saya berasa sangat tidak selesa, pergerakan terbatas, malah banyak perkara tidak boleh dilakukan.

"Adakalanya jiwa muda memberontak melihat keadaan diri namun sokongan keluarga banyak membantu saya untuk lebih tenang melalui ujian ini," katanya.

KAKI Muhammad Izani sebelum dibedah (kiri) dan selepas dibedah.
KAKI Muhammad Izani sebelum dibedah (kiri) dan selepas dibedah.

Muhammad Izani berkata, selepas kaki kirinya pulih, dia diuji pula dengan penyakit kaki gajah pada kaki kanan.

"Pada 2018, saya menjalani satu lagi pembedahan membuang lebihan daging seberat 800 gram di kaki kanan.

"Tetapi bengkak kembali berulang dan semakin membesar. Doktor memaklumkan kemungkinan saya akan menjalani pembedahan hujung tahun ini melalui Charles Procedure," katanya.

Berkongsi sejarah penyakit dihidapinya itu, Muhammad Izani berkata, ia bermula dengan kegatalan biasa pada betis kirinya.

Katanya, lama kelamaan kegatalan itu menjadi lebih teruk seperti kurap.

Akibat menggaru bahagian yang gatal, ia menyebabkan bengkak.

"Saya juga menggagahkan diri 'membawa' kaki semasa melanjutkan pengajian peringkat Diploma Pengurusan Hartanah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Perak.

"Saya bersyukur dapat menghabiskan pengajian walaupun dalam kepayahan. Bengkak kaki menjadi lebih teruk selepas menamatkan pengajian," katanya yang mengusahakan kedai fotostat.

Jelasnya, dia sangat berharap kaki kanannya kembali pulih sepenuhnya selepas pembedahan berkenaan dan berdoa supaya tidak lagi dibelenggu kaki gajah.

Masalah saluran limpa cetus penyakit 'kaki gajah'

Penyakit 'kaki gajah' atau 'kaki untut' adalah penyakit jarang jumpa, tetapi semakin ramai yang menghidapnya.

Pakar Bedah Rekonstruktif dan Plastik MSU Medical Centre (MSUMC) Prof Dr Arman Zaharil Mat Saad berkata, sejak 25 tahun lalu, beliau sudah merawat hampir 100 pesakit kaki gajah.

"Anggaran berat lebihan daging pesakit kaki gajah yang berjaya dibuang menerusi pembedahan pula ialah 50 kilogram," katanya.

Menurut Dr Arman Zaharil, kaki gajah ialah penyakit disebabkan masalah saluran limpa atau nama sainstifiknya limfedema.

"Punca penyakit ini boleh dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu kongenital dan acquired (diperoleh daripada punca lain).

"Limfedema kongenital ialah sistem limpa tidak terbentuk atau berkembang dengan baik sejak lahir, tetapi corak manifestasinya boleh terbahagi kepada tiga peringkat.

"Pertama, masalah anggota menjadi besar atau bengkak sudah kelihatan semasa bayi dilahirkan (ini dinamakan limfedema kongenital).

"Kedua ialah limfedema prekoks yang mana penyakit ini muncul pada usia remaja, sebelum individu berkenaan berusia 20 tahun," katanya.

DR Arman Zaharil.
DR Arman Zaharil.

Dr Arman Zaharil berkata, peringkat ketiga ialah limfedema tarda yang dialami dalam kalangan pesakit berusia lebih 20 tahun dan kebiasaannya bermula ketika pesakit berumur awal 30-an.

Jelas beliau, untuk kategori acquired pula, antaranya boleh berpunca daripada jangkitan parasit filariasis yang merosakkan saluran limfa.

Dr Arman Zaharil berkata, kebanyakan pesakit kaki gajah di Malaysia yang beliau rawat adalah daripada kategori limfedema kongenital (tarda) namun tahap penyakit mereka sudah berada diperingkat teruk.

Katanya, bagi penyakit kaki gajah peringkat tiga (teruk), pilihan rawatan hanyalah pembedahan dengan membuang tisu yang rosak, mengeras dan membesar untuk digantikan dengan graf kulit.

"Manakala rawatan untuk penyakit peringkat awal ialah menerusi rawatan secara konservatif iaitu memakai compression garments (seperti stoking) atau pembedahan membuat pintasan pada salur darah vena bagi membuka saluran limpa tersumbat dan membaiki semula saluran berkenaan.

"Bagaimanapun, pesakit perlu memakai compression garment secara konsisten iaitu selama 23 jam sehari. Fungsi alat ini ialah untuk mengelakkan bengkak kaki menjadi lebih teruk," katanya.

Dr Arman Zaharil berkata, kebiasannya, selepas rawatan, pesakit tidak akan kembali normal. Mereka masih memerlukan rawatan pressure garment seumur hidup.

Katanya, bagi kes rawatan pembedahan debulking menggunakan kaedah charles procedure, boleh dikatakan kejayaannya hampir 99 peratus memulihkan fungsi anggota pesakit.

"Bagi pesakit kaki gajah yang meninggal dunia, ia bukan kerana penyakit itu sebagai penyebab utamanya.

"Ia membabitkan faktor kedua seperti pesakit mungkin menghidap penyakit kronik lain akibat tidak boleh bergerak aktif disebabkan keadaan kakinya yang terlalu besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 12:00 PM