Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Penghuni sebuah pusat jagaan rehabilitasi ketidakupayaan mental dan warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dakwaan membunuh seorang penghuni lain, minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Lai Mun Kong, 50, apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Lim Han Tong, 42, di Blok A, Pusat Jagaan Maju Jaya di Chemor, di sini, antara 6 pagi hingga 6.50 pagi pada 24 Ogos lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 29 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

LAI Mun Kong ketika dibawa di Mahkamah Majistret Ipoh atas dakwaan membunuh seorang penghuni lain di Pusat Jagaan Maju Jaya. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
LAI Mun Kong ketika dibawa di Mahkamah Majistret Ipoh atas dakwaan membunuh seorang penghuni lain di Pusat Jagaan Maju Jaya. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 12:04 PM