Saipul Adli Mohamad dan Raja Noraina Raja Rahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati hanya 13 warga emas positif Covid-19 selepas saringan dijalankan di pusat jagaan warga emas sehingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan data saringan, 10 lagi individu yang positif bagi kluster pusat jagaan warga emas adalah petugas pusat jagaan.

Menurutnya, sehingga kini KKM sudah menjalankan saringan di 272 pusat jagaan warga emas seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, 23 didapati positif namun hanya 13 membabitkan warga emas manakala bakinya adalah petugas.

"Mungkin ada petugas yang turut bertugas di hospital dan membawa jangkitan di pusat jagaan itu," katanya dalam sidang media harian Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, 85 peratus pesakit positif bagi kluster warga emas, tahfiz dan pasar adalah mereka yang tidak bergejala.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan KKM seperti penjarakan sosial, tiada sentuhan dan kerap mencuci tangan perlu terus diamalkan.

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Dalam perkembangan berasingan, KKM sudah menjalankan saringan 30 kontak rapat seorang wanita mengandung di Kelantan yang dikesan positif sebelum ini.

Menurutnya, 26 kontak rapat itu di Kelantan disahkan negatif manakala tiga di Selangor juga disahkan negatif namun keputusan saringan untuk tiga lagi individu belum dikeluarkan.

"Walaupun negatif, mereka perlu menjalani kuarantin rumah selama 14 hari dan ujian swab (calitan) kedua akan dibuat pada hari ke-13 kuarantin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 6:07 PM