KEADAAN kemalangan yang mengorbankan lima penuntut USAS di KM 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kemalangan yang mengorbankan lima penuntut USAS di KM 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara. FOTO Ihsan Bomba
Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Taiping: Tempoh reman pemandu treler muatan besi yang terbabit dalam nahas mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kuala Kangsar, Khamis lalu disambung tiga hari lagi sehingga Rabu.

Perintah melanjutkan tempoh reman suspek berusia 28 tahun itu dikeluarkan Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh hari ini bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ia susulan dari tempoh reman suspek selama empat hari sejak ditahan pada Khamis lalu berakhir hari ini.

Suspek yang berpakaian lokap warna ungu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.20 pagi dengan diiringi anggota polis sebelum meninggalkan mahkamah hampir sejam kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, susulan itu suspek dijangka didakwa sama ada pada petang Selasa ini atau Rabu.

"Perintah sambung reman selama tiga hari lagi diperoleh bagi membolehkan kertas siasatan kes berkenaan dilengkapkan.

"Suspek dijangka didakwa pada Selasa ini sama ada pada sebelah petang atau Rabu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Omar Bakhtiar dilaporkan berkata kertas siasatan kes itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Selasa ini untuk pendakwaan di mahkamah.

Pemandu berasal dari Kubang Pasu, Jitra, Kedah itu mempunyai 22 saman dengan 21 daripada jumlah saman itu sudah dibayar termasuk lapan saman kesalahan memandu laju, selain dilapor turut mempunyai sembilan rekod kesalahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam kejadian sekitar 12.52 tengah malam Khamis lalu, lima pelajar USAS yang menaiki kereta Honda City rentung selepas kereta dinaiki terbakar akibat dirempuh treler muatan besi dari arah belakang ketika melalui kawasan penyelenggaraan jalan dikendalikan PLUS Berhad.

Nahas berlaku di Kilometer 245.2, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira dua kilometer berhampiran susur keluar Plaza Tol Kuala Kangsar.

Mangsa yang maut adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, yang memandu kereta; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19; dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 12:17 PM