JENAZAH Ahmad Naim Najmi dan Ahmad Akmal disolatkan di Masjid Raja Permaisuri Bainun USAS, malam ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
JENAZAH Ahmad Naim Najmi dan Ahmad Akmal disolatkan di Masjid Raja Permaisuri Bainun USAS, malam ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Empat pelajar yang rentung dalam nahas di Kilometer (KM) 245.2, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, tengah malam tadi dikatakan sering kelihatan mengunjungi masjid termasuk melazimi iktikaf pada 10 malam terakhir bulan Ramadan yang lalu.

Perkara itu diakui oleh Muhamad Akmal Norazli, 22, yang sering melihat Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19; dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, mengunjungi Masjid Raja Permaisuri Bainun di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini.

Muhamad Akmal berkata, Iqbal Hasnun dan Muhammad Nasrun Aidol sememangnya rakan baiknya yang kedua-duanya disifatkan mudah membantu orang dalam kesusahan, manakala Muhammad Nabil Haikal dan Ahmad Akmal adalah jiran bilik di asrama penginapan.

"Boleh dikatakan empat daripada mereka adalah jemaah tetap di masjid ini biarpun seorang daripada lima mangsa itu iaitu Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan saya kurang kenal. Namun mungkin dia juga kerap mengunjungi masjid bersama dengan empat kawan itu tanpa saya sedari.

"Apa saya pasti, empat daripada mereka memang kerap datang ke masjid walaupun sebelum memasuki bulan Ramadan yang lalu dan biarpun mereka tiada sebarang jawatan dalam pengurusan masjid. Apatah lagi, pada 10 malam terakhir Ramadan lalu sebelum cuti Aidilfitri.

"Ketika itu saya sendiri nampak empat dari mereka turut sama menunaikan ibadat iktikaf dan Qiamullail dengan tidur di masjid ini," katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat jenazah di Masjid Raja Permaisuri Bainun USAS, malam ini.

Solat jenazah Ahmad Naim Najmi dan Ahmad Akmal ditunaikan oleh ratusan jemaah terdiri daripada pelajar serta kakitangan USAS selepas selesai menjalani proses bedah siasat serta identiti dikenal pasti dengan tepat.

Solat selesai disempurnakan jam 9.05 malam tadi sebelum dua jenazah berkenaan dibawa ke kampung halaman masing-masing bermula jam 9.20 malam.

Bercerita lanjut, Muhamad Akmal berkata, selain berkawan baik, dia bersama Iqbal Hasnun dan Muhammad Nasrun Aidol mengikuti kuliah yang sama serta sering berada dalam kumpulan sama bagi menyelesaikan sesuatu tugasan diarahkan oleh pensyarah.

"Iqbal Hasnun terlalu baik dengan saya. Pernah suatu ketika menawarkan wang kepunyaannya untuk saya pinjam biarpun saya menolak kerana memikirkan Aidilfitri semakin hampir.

"Sementara, Ahmad Akmal dan Muhammad Nabil Haikal hanya jiran bilik asrama saya dan saya sememangnya sering melihat mereka berdua turut melazimi berkunjung ke masjid ini.

"Masjid ini memang selalu ada mereka sejak mula-mula saya masuk ke USAS," kata pelajar Semester 2 Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam USAS itu.

Media sebelum ini melaporkan, lima pelajar USAS terbunuh selepas Honda City dinaiki mereka terbabit kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 11:19 PM