Raja Noraina Raja Rahim

Shah Alam: Ahli perniagaan, Nicky Liow yang menyerah diri selepas setahun diburu polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam di sini, hari ini, atas 26 pertuduhan terbabit pengubahan wang haram berjumlah RM36 juta.

Nicky atau nama sebenarnya Liow Soon Hee, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Helina Sulaiman.

Mengikut 24 pertuduhan, tertuduh yang juga pengarah kepada tiga syarikat iaitu Dream Vision Media Sdn Bhd, Nicky Fashion House Enterprise dan Winner Dynasty Travel & Leisure Sdn Bhd didakwa secara langsung terbabit dalam transaksi wang hasil daripada aktiviti haram.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Maybank Cawangan Bandar Puteri Puchong dan Maybank Cawangan Bandar Ampang, Selangor antara 2016 hingga 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLAFTA) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti berkenaan.

Bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki hasil daripada aktiviti haram berkenaan mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLAFTA yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman sama.

Kesemua aktiviti haram berkenaan membabitkan keseluruhan wang berjumlah lebih RM36 juta.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Zalizan Lazarous yang mengendalikan kes mencadangkan ikat jamin RM3.6 juta dengan syarat ketat iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman setiap dua minggu, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dua penjamin.

Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakarian dan Syafinas Shabudin.

Bagaimanapun peguam Datuk Rajpal Singh memohon supaya tertuduh diikat jamin di bawah RM1 juta dengan alasan anak guamnya tiada risiko untuk melarikan diri.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta termasuk tiga syarat tambahan dan menetapkan 26 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Harian Metro semalam melaporkan Nicky menyerah diri di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, pada jam 11 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 11:37 AM