BARISAN Exco Johor yang baharu bergambar kenangan bersama  Sultan Ibrahim (lapan dari kiri), Tunku Ismail (tujuh dari kiri) dan  Tunku Idris (enam dari kiri). FOTO Ihsan RPO
BARISAN Exco Johor yang baharu bergambar kenangan bersama Sultan Ibrahim (lapan dari kiri), Tunku Ismail (tujuh dari kiri) dan Tunku Idris (enam dari kiri). FOTO Ihsan RPO
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Johor di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini.

Majlis Istiadat Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, di sini, pagi tadi.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Turut berangkat, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim.

Exco Johor yang mengangkat sumpah ialah Datuk Zahari Sarip (Buloh Kasap), Datuk Mohd Jafni Md Shukor (Bukit Permai), K Raven (Tenggaroh), Khairin Nisa Ismail (Serom), Mohd Hairi Mad Shah (Larkin) dan Mohd Fared Mohd Khalid (Semerah).

Turut mengangkat sumpah, Ling Tian Soon (Yong Peng), Lee Ting Han (Paloh), Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Bukit Pasir) dan Norliza Noh (Johor Lama).

Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Adun Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor Ke-19 pada 15 Mac lalu.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim Iskandar kira-kira 3 petang hari berkenaan.

Onn Hafiz adalah Naib Ketua Bahagian Umno Simpang Renggam, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Machap pada Pilihan Raya Negeri Johor dengan majoriti 6,543 undi.

Beliau menggantikan Datuk Seri Hasni Mohammad, yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 11:17 AM