FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Projek pembangunan rumah mampu milik yang diperluaskan di seluruh negara akan mengurangkan jurang pemilikan hartanah antara golongan M40 dan B40.

Pengerusi Pertubuhan Amal Budi, Ahmad Fahmi Mohd Hussain berkata, pihaknya menyambut baik usaha kerajaan itu yang turut bekerjasama dengan pemaju swasta dan institusi kewangan, sekali gus mampu menawarkan harga rumah berpatutan.

"Strategi mereka itu tepat kerana apa yang kita perhatikan ketika turun padang menyalurkan bantuan ketika pandemik Covid-19 ini, jurang M40 dan B40 sangat besar.

"Kebanyakan M40 memberitahu walaupun ada simpanan, mereka masih tidak mampu membeli rumah sendiri yang dianggap masih mahal.

"Justeru, menerusi projek ini kos bahan mentah dapat dikawal, sekali gus menawarkan harga rumah mampu milik yang berpatutan serta pembiayaan yang mampu dibayar pembeli," katanya.

Katanya, nilai premium tanah di pinggir bandar dan bandar kecil lebih rendah berbanding di kawasan tumpuan seperti bandar besar.

"Apabila akses pengangkutan awam di kawasan itu diperluaskan, ia akan memudahkan mereka yang bekerja di bandar.

"Selain itu, dengan adanya akses Internet, fibre to the home (FTTH) ia memudahkan pemilik hartanah bekerja dari rumah walaupun tinggal di kawasan pinggir bandar.

"Namun saya berharap, strategi itu dipantau supaya pelaksanaannya mencapai matlamat," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) Datuk Chang Kim Loong berkata, pihaknya menyokong dan berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin menawarkan projek itu bagi membantu golongan B40 dan M40 memiliki hartanah sendiri dengan harga mampu milik.

"Kita sokong projek ini kerana menawarkan harga berpatutan, tetapi pastikan ia dibina di kawasan dan jenis kediaman sesuai dengan komuniti setempat serta jumlah populasi supaya pembangunan ini tidak sia-sia dan mencapai matlamat membantu golongan sasar.

"Bakal pembeli juga perlu ada ilmu menjadi pemilik hartanah bertanggungjawab bagi mengelak mereka terbeban atau rumah mereka dilelong kerana ada lagi caj lain seperti sinking fund (dana terikat), penyelenggaraan, cukai pintu dan tanah perlu dijelaskan selain pembayaran bulanan bank.

"Selain itu, pastikan promosi penjualan projek ini dilaksanakan di kawasan setempat seperti dewan orang ramai dengan penyertaan wakil rakyat berbanding di pusat beli-belah dan sebagainya bagi memastikan ia mencapai sasaran," katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan menerusi Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MMPMMN) akan merangka strategi penyediaan dan pelaksanaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara.

Pembinaan projek itu dilaksanakan membabitkan kerjasama Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan dan pemaju perumahan dengan mengambil kira elemen keterhubungan dan akses Internet, jaringan pengangkutan awam serta reka bentuk ekonomik dan selesa.

CHANG
CHANG

Peluang golongan M40 miliki kediaman sendir

Pelaksanaan projek pembinaan rumah mampu milik (RMM) di bandar kecil dan pinggir bandar satu peluang keemasan kepada Keluarga Malaysia terutama golongan M40 memiliki rumah sendiri.

Pegawai pembelian sebuah syarikat teknologi maklumat, Siti Suzanne Anton, 46, menyifatkan, inisiatif berkenaan bagus membantu golongan sepertinya memiliki rumah memandangkan kebanyakan hartanah di bandar pada masa ini tinggi dan melebihi paras kemampuannya.

"Memang ada impian membeli rumah, tetapi bila harga terlampau mahal saya tak mampu apatah lagi saya ibu tunggal yang menyara lima anak dan menanggung semua perbelanjaan kami.

"Satu lagi isu, kita pun faham mungkin bank susah nak luluskan permohonan selepas mengambil kira kemampuan bayar balik disebabkan faktor umur lanjut namun kalau rumah mampu milik di bawah RM300,000 saya rasa mungkin isu ini tidak timbul kerana kita masih mampu," katanya.

Senada dengan itu, Mohd Dahlan Mohd Rosdi, 41, juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pembinaan rumah mampu milik itu di bawah RM300,000 untuk memudahkan pemilikan hartanah kepada golongan berusia 40 tahun ke atas.

"Jika ingin membeli rumah, golongan 40-an terpaksa pasrah membayar harga tinggi setiap bulan kerana tempoh pembayaran singkat atas faktor umur lanjut berbanding individu 30-an bulanan mereka lebih rendah kerana tempoh pembayaran semula yang maksimum.

"Jadi, saya berharap harga rumah ini diturunkan kepada bawah RM300,000 supaya golongan seperti kami ini dapat memiliki rumah dengan kadar bayaran bulanan yang tidak membebankan memandangkan pada masa ini kos sara hidup juga semakin tinggi," katanya.

Sementara itu, suri rumah, Siti Munirah Mashudi, 36, berkata, langkah kerajaan menyediakan reka bentuk ekonomik dan selesa untuk projek rumah itu wajar bagi memastikan keselesaan seisi keluarga.

"Walaupun rumah mampu milik, saya berharap bilik ada tiga supaya dapat mengasingkan bilik anak lelaki dan perempuan.

"Selain itu, memandangkan ia dibina di pinggir bandar dan bandar kecil, infrastruktur dan jaringan pengangkutan juga wajar diberi perhatian bagi memastikan pembeli yang bekerja mudah berulang alik ke tempat kerja yang kebanyakannya di kawasan bandar besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 7:00 AM