DBKL menjalankan sewa beli membabitkan unit perumahan bawah pengurusannya.
DBKL menjalankan sewa beli membabitkan unit perumahan bawah pengurusannya.
Nurul Husna Mahmud


NILAI hartanah sekitar RM 300,000 masih munasabah dikategorikan sebagai mampu milik tidak lagi dilihat sedemikian oleh rata-rata golongan berpendapatan rendah mahupun sederhana akibat pendapatan isi rumah yang kian menyusut.

Difahamkan senario ini adalah 'penangan' daripada pandemik Covid-19 terhadap ekonomi global selain krisis peperangan Rusia dan Ukraine serta kenaikan mata wang Dolar Amerika membuatkan tahap kewangan individu semakin merosot.

Secara tidak langsung ia mempengaruhi penilaian terhadap nilai hartanah yang dikatakan mampu milik tidak lagi kelihatan sedemikian kerana pendapatan perkapita penduduk bagi golongan rendah dan sederhana terjejas.

Menurut Penyelidik Hartanah dan Pensyarah Program Pengurusan Harta Tanah dan Perlelongan, Fakulti Perniagaan International University of Malaya-Wales Kuala Lumpur, Profesor Dr Noor Rosly Hanif, situasi pandemik yang banyak memberi tekanan kepada penyusutan pendapatan sehingga 50 peratus membuatkan kadar mampu milik bagi nilai hartanah juga berubah.

"Takrifan mengenai rumah mampu milik adalah pelbagai. Namun melihat kepada usaha kerajaan negeri apabila menetapkan terma yang lebih wajar mengikut lokaliti.

"Terma yang diguna pakai meliputi rumah kos rendah untuk hartanah kediaman RM42,000 ke bawah, kos sederhana untuk RM150,000 dan rumah mampu milik dikategorikan untuk kediaman dari RM250,000 hingga RM300,000. Harga yang melepasi paras RM400,000 tidak lagi di bawah terma mampu milik.

"Melihat pula situasi semasa apabila dikatakan pendapatan menyusut sehingga 50 peratus jauh daripada data pendapatan isi rumah pada tahun 2019 oleh Jabatan Statistik Malaysia. Golongan B40 ketika itu memiliki purata pendapatan RM4,850, sementara golongan M40 pula meraih pendapatan antara RM4,851 hingga RM10,970 sebulan.

KOS perundangan dan lain-lain juga menjadi beban kepada pemilik hartanah mampu milik.
KOS perundangan dan lain-lain juga menjadi beban kepada pemilik hartanah mampu milik.

"Harga rumah yang berpadanan untuk kategori mampu milik dalam situasi ketika ini di bawah paras RM250,000. Tidak hanya melihat penawaran hartanah mampu milik, keutamaan golongan muda yang tinggal di bandar terutama baru bekerja lebih fokus terhadap kelangsungan hidup iaitu menyewa bilik berbanding menanggung komitmen seunit kediaman," katanya.

Kata Noor Rosly lagi, inisiatif kerajaan terkini dalam menggalakkan milikan kediaman mampu milik menerusi skim tertentu, beliau berpendapat, itu dapat membantu sebahagian kelompok golongan muda dalam memiliki kediaman.

"Tidak dinafikan langkah kerajaan terutama Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan yang menyasarkan milikian kediaman berlandaskan Aspirasi Satu Keluarga Satu Rumah menerusi Program Pemilikan Kediaman (HOPE) Julai tahun ini mahu membina 500,000 kediaman mampu milik sepanjang Rancangan Malaysia ke-12 untuk membantu memperkasakan milikan rumah dalam golongan itu.

"Namun realiti atau trend kehidupan rakyat ketika ini dianggarkan dengan gaji permulaan RM1,500 selain kos sampingan yang perlu ditanggung mereka terutama guaman dan juga kadar kenaikan faedah pinjaman oleh Bank Negara menjadikan keperluan memiliki kediaman bukan keutamaan berbanding untuk disewa," katanya.

Tidak hairanlah masih ramai golongan B40 dan M40 lebih selesa menyewa kerana tidak mahu komitmen kewangan yang baru dalam situasi tidak menentu.

LEBIH rela menyewa bilik.
LEBIH rela menyewa bilik.

Kelompok yang menikmati inisiatif ini adalah mereka yang memiliki kerjaya stabil seperti penjawat awam mahupun pekerja swasta di firma atau organisasi yang matang.

"Golongan yang memiliki kelebihan membeli rumah menerusi inisiatif terbaru kerajaan seperti HOPE dan Skim Sewa Untuk Milik (ROT) oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di bawah Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) adalah golongan yang masih memiliki kerjaya stabil iaitu kelompok golongan muda kerja sebagai penjawat awam contohnya.

"Namun tidak juga menolak keadaan itu dapat membantu menggalakkan golongan B40 dan M40 sebelum ini menyewa dapat membeli rumah pertama menerusi skim terbabit.

"Usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang membangunkan pemetaan atau 'dashboard' Indeks Harga Rumah Mampu milik bagi setiap lokaliti di seluruh negara sebagai panduan pemaju, bakal pembeli dan pihak berkuasa tempatan sangatlah penting bagi menentukan kadar harga rumah mampu milik sewajarnya mengikut kawasan tertentu," katanya.

Mengenai contoh terbaik dalam penawaran hartanah mampu milik lebih baik kepada golongan berkenaan, kata Noor Rosly, terdapat contoh amalan terbaik pernah dilaksanakan agensi tertentu bagi membantu golongan B40 memiliki kediaman sendiri.

"Walaupun terdapat beberapa usaha dibuat pihak pemaju, PR1MA atau pun bank bagi menggalakan skim RTO, tapi harga jualan dan kadar sewaan semasa yang tinggi masih di luar kemampuan generasi B40 dan M40.

PROFESOR Dr Noor Rosl
PROFESOR Dr Noor Rosl

"Mungkin kita boleh belajar dari sejarah bagaimana pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyewakan unit-unit kediaman yang dibina pada awal tahuan 1970-an dan 80-an kepada penyewa yang layak yang kebanyakannya adalah dari kategori B40 ketika itu.

"Pihak DBKL kemudiannya menjualkan unit-unit berkenaan dengan harga selepas diskaun apabila sewaan melebihi 10 tahun. Walaupun terdapat beberapa kes terpencil, penyewa yang ditawarkan menolak atau didapati tidak layak oleh pihak bank untuk membeli, tetapi kebanyakan unit-unit yang ditawarkan untuk dijual telah dibeli dan ada belian dilakukan secara tunai.

"Selain penghuni asal, generasi kedua iaitu anak-anak penyewa itu yang membeli bagi pihak ibu bapa mereka. Kesimpulannya bagi mengatasi pemilikan hartanah mampu milik adalah mengambil tempoh masa yang panjang kerana turut berkait dengan kos hidup lain," katanya.

Pakar itu menjangkakan generasi ini terpaksa memilih untuk menyewa berbanding memiliki hartanah kerana kenaikan harga termasuklah kos barang binaan semakin meningkat setiap tahun.

"Realitinya harga rumah semakin meningkat termasuklah harga rumah kos rendah yang dijual kerajaan negeri pada generasi pertama dengan harga RM42,000 seunit, selepas 10 tahun sekarang ini rata-ratanya berharga diantara RM 80,000 ke RM200,000 seunit di Lembah Kelang.

"Mungkin pendekatan yang pernah dibuat oleh DBKL diketengahkan semula untuk diamalkan di seluruh Malaysia. Sebagaimana di Singapura hanya satu badan yang merancang, membina dan menguruskan perumahan yang diperlukan oleh rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 7:00 AM