ASSAD (kanan) sedia bertemu dengan Jong Un. FOTO/AFP
ASSAD (kanan) sedia bertemu dengan Jong Un. FOTO/AFP
AFP

SEOUL: Presiden Bashar al-Assad merancang melawat pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, lapor media Pyongyang hari ini, berkemungkinan menjadi ketua negara pertama melawat Jong Un di negara terpinggir itu.

“Saya akan melawat Korea Utara dan bertemu Kim Jong Un,” kata Assad, lapor agensi berita KCNA.

Pengumuman dibuat ketika harapan memuncak bagi sidang kemuncak nuklear bersejarah antara Jong Un dan Presiden Donald Trump di Singapura pada 12 Jun ini, susulan siri rundingan diplomasi.

“Dunia menyambut baik acara menakjubkan di semenanjung Korea yang dibawa baru-baru ini oleh kepemimpinan politik yang cemerlang dan bijak Kim Jong Un,” KCNA memetik Assad sebagai berkata ketika bertemu dengan Duta Korea Utara, Mun Jong Nam, Rabu lalu.

Pyongyang dan Damsyik mengekal hubungan mesra selama beberapa dekad dan dilaporkan berkongsi hubungan ketenteraan beberapa tahun, termasuk ketika perang saudara di Syria berlanjutan.

Keraguan berhubung perdagangan senjata kimia antara kedua-dua negara pernah dibangkitkan pada masa lalu oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Korea Selatan.

Ada juga laporan mengenai Korea Utara membantu Syria membina loji nuklear yang dimusnahkan dalam pengeboman Israel pada 2007.

Kedua-dua rejim menjadi sasaran pemulauan antarabangsa dengan Pyongyang berhubung program nuklear yang diharamkan dan Damsyik kerana kekejaman dilakukan pada perang selama tujuh tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 5:48 AM