KIM Ju Ae. FOTO AP
KIM Ju Ae. FOTO AP
Agensi

Seoul: Anak kedua pemimpin Kim Jong Un, Kim Ju Ae, yang didedahkan kepada umum sejak kebelakangan ini, dikatakan mempunyai seorang abang dan adik.

Portal abc news melaporkan, pendedahan itu dibuat ahli Perhimpunan Kebangsaan Korea Selatan yang diberi taklimat oleh Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (NIS) negara itu dalam mesyuarat tertutup di sini, Selasa lalu.

Ahli dewan berkenaan, Youn Kun-young dan Yoo Sang-bum membuat pendedahan baharu mengenai keluarga Kim Jong Un itu kepada wartawan selepas taklimat tertutup dengan agensi perisikan berkenaan.

"Ju Ae nampaknya bersekolah di rumah di Pyongyang dan hobinya termasuk menunggang kuda, berenang dan bermain ski.

"Ada maklumat mengatakan Jong Un cukup berpuas hati dengan kemahiran (anaknya itu) menunggang kuda, yang sangat baik," kata Yoo kepada pemberita.

Bagaimanapun, agensi perisikan memaklumkan dakwaan ada individu di Korea Utara yang terpaksa menukar nama kerana mempunyai nama sama dengan Ju Ae, adalah palsu.

Persoalan turut dibangkitkan sama ada anak perempuan Jong Un yang berusia sembilan tahun itu mungkin menjadi pemimpin masa depan rejim negara berkenaan.

Ia selepas dia dilihat di acara rasmi di Korea Utara sejak November lalu apabila Jong Un membawanya ke tapak pelancaran ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM).

Dia juga mendapat perhatian ketika menemani bapanya semasa perarakan tentera sempena ulang tahun ke-75 penubuhan tentera negara itu.

NIS menjelaskan terlalu awal untuk meramalkan pengganti Jong Un kerana usia anak perempuannya yang masih muda dan keadaan kesihatan pemimpin Korea Utara itu yang dalam keadaan baik.

Bagaimanapun, kurang maklumat mengenai dua lagi anak Jong Un.

Yoo memberitahu pemberita bahawa anak sulung Jong Un adalah lelaki berdasarkan sumber perisikan antarabangsa, walaupun tiada bukti mengenai dakwaan berkenaan.

Jong Un disahkan mempunyai anak ketiga, namun jantinanya tidak diketahui.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 12:11 PM