MUHAMMAD Aqil Rifqi bersama koleksi kamus kepunyaannya.
MUHAMMAD Aqil Rifqi bersama koleksi kamus kepunyaannya.
Oleh Redzuan Muharam


Petaling Jaya: Pengaruh yang ada di Twitter tidak disia-siakan sebaliknya dimanfaatkan Muhammad Aqil Rifqi Mohamed Azlan untuk berkongsi perkataan bahasa Melayu, lazimnya yang jarang didengar bersama maknanya dengan pengikut di platform itu.

Bukan niat Muhammad Aqil Rifqi, 24, untuk menunjuk ilmu yang ada namun matlamatnya adalah mengajak pengikutnya membudayakan bahasa Melayu.

Anak sulung daripada lima beradik yang kini menetap di Kota Damansara di sini, berkata, minat mendalami bahasa Melayu tercetus selepas tamat pengajian asasi iaitu sebelum menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda.

"Ketika itu, saya mahu menterjemah dokumen dan baru sedar penguasaan bahasa Melayu lemah kerana tidak dapat menulis dengan betul.

"Jadi, saya ambil inisiatif dan manfaatkan masa dengan menyertai kursus terjemahan

"Tamat kursus, saya dapati diri masih lemah dalam penguasaan kosa kata, saya beli kamus Dewan Bahasa Pustaka (DBP) dan lain bagi mempelajari perkataan baharu," katanya ketika dihubungi.

Menurut Muhammad Aqil Rifqi, tiada siapa yang mendorongnya mendalami bahasa Melayu, tetapi minat itu datang sendiri.

"Saya lakukannya kerana keinginan sendiri, bukan dipengaruhi sesiapa, malah keluarga tak sangka saya jadi seperti sekarang.

"Mana tidaknya, saya tidak pernah tunjukkan minat sebelum ini jauh sekali turut serta dalam pertandingan syair atau sajak ketika di sekolah, namun kini mengumpul ratusan kamus sejak enam tahun lalu," katanya

Berkongsi pandangannya, Muhammad Aqil Rifqi berkata, usia bukan faktor mempengaruhi penggunaan bahasa seseorang tidak kira dalam pertuturan atau penulisan.

Sebaliknya, ia bergantung kemahuan individu m menggunakan bahasa dengan betul.

"Tidak adil untuk kita pukul rata golongan muda atau tertentu yang merosakkan bahasa.

"Ini kerana ada juga golongan berumur atau muda lakukan kesilapan itu. Bagi saya, tiada salahnya bertutur dalam bahasa basahan atau gunakan perkataan singkatan dengan syarat ia boleh difahami.

"Cuma, masalah kini kebiasaan segelintir individu bertutur gabungan dua bahasa misalnya Manglish yang boleh menyebabkan seseorang lupa adanya sesuatu perkataan dalam bahasa Melayu.

"Apa-apa pun, kemajuan itu tidak bersandarkan kepada bahasa, tetapi usaha memartabatkannya dan buktinya, bahasa isyarat misalnya boleh diterima pakai secara meluas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 8:01 AM