HAIWAN seperti kucing digunakan untuk meningkatkan deria kanak-kanak terhadap sekeliling.
HAIWAN seperti kucing digunakan untuk meningkatkan deria kanak-kanak terhadap sekeliling.
BENGKEL Terapi Pertuturan yang diadakan untuk ibu bapa.
BENGKEL Terapi Pertuturan yang diadakan untuk ibu bapa.
KANAK-KANAK sepatutnya boleh menyebut antara 25 hingga 50 perkataan pada usia 2 tahun.
KANAK-KANAK sepatutnya boleh menyebut antara 25 hingga 50 perkataan pada usia 2 tahun.
Intan Mas Ayu Shahimi

Kerap kali ibu bapa yang mempunyai anak dengan masalah lewat bertutur tidak sedar bahawa tindakan mereka berkomunikasi dengan si manja menggunakan bahasa yang berbeza-beza boleh memburukkan lagi keadaan.

Dari segi luaran, anak seawal usia dua tahun mungkin nampak faham apabila diarah melakukan pelbagai perkara dalam bahasa Melayu atau Inggeris.

Namun dalam kebanyakan situasi, mereka sebenarnya lebih cenderung menggunakan perkataan bahasa Inggeris yang pendek setiap kali meminta sesuatu daripada orang di sekelilingnya.

Umpamanya, apabila hendak keluar dari rumah, si manja akan meminta diambilkan ‘shoes’ berbanding menyebut kasut atau menuding jari sambil menyebut ‘car’ setiap kali merujuk kepada kereta.

Menurut Juruterapi Pertuturan Bahasa merangkap Pengetua Ruby EIP Centre, Ruby Izyan Atika Abu Bakar, anak yang petah bercakap sejak dari usia awal tetapi bertutur dalam bahasa rojak adalah normal.

Bagaimanapun, bagi kes membabitkan anak yang mengalami masalah lewat bertutur, bercakap dalam satu bahasa adalah lebih baik berbanding penggunaan dwibahasa.

Pada masa sama, interaksi ibu bapa dengan si manja juga perlu diberi perhatian. Ia bagi memastikan perkembangan anak kecil sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

“Seorang kanak-kanak dikategorikan menghadapi masalah lewat bertutur jika umurnya sudah mencecah dua tahun dan masih tidak bercakap. Pada umur ini, anak sepatutnya sudah boleh menyebut antara 25 hingga 50 perkataan secara spontan, tidak kira dalam bahasa apa sekali pun.

“Jadi, kalau ibu bapa memang bercakap dalam bahasa Melayu, tetapi anak pula mengikut arahan dalam bahasa Inggeris, pasti timbul persoalan, dari manakah dia memahami bahasa Inggeris? Adakah di taska atau mungkin menerusi gajet yang kita beri?

“Sebab itu interaksi amat penting. Ibu bapa perlu tahu sejauh mana kemajuan anak dalam bertutur. Adakah gaya percakapan mereka normal atau masih terhad berbanding kanak-kanak sebayanya,” katanya.

Melihat kepada perubahan zaman teknologi hari ini, ternyata peranan ibu bapa kian mencabar dalam menentukan lenggok bahasa, gaya pertuturan mahupun sikap kanak-kanak.

Pengenalan dan pendedahan bahasa dominan dalam keluarga memberi impak besar kepada anak-anak kecil. Mereka mendengar pertuturan orang di sekeliling, menangkap sebutan, sekali gus mempelajari perkataan baru dengan cepat dan tepat setiap hari.

“Justeru, jangan ada ibu bapa yang mengalah dan cuba bercakap dalam bahasa yang mereka sendiri tidak fasih. Kalau seisi rumah berbahasa Melayu, kekalkan bahasa Melayu. Jika Mandarin, Tamil dan Inggeris, maka bercakaplah dalam bahasa masing-masing.

“Ini penting kerana ramai anak yang bermasalah pertuturan cenderung memilih bahasa. Dalam beberapa kes, mereka lambat bercakap, perkataan masih terhad, tetapi memilih menyebut perkataan bahasa Inggeris sahaja.

“Keadaan ini biasanya berlaku disebabkan pengaruh kartun di televisyen. Tambahan pula sebutan perkataan satu suku kata dalam bahasa Inggeris lebih mudah disebut seperti cat, dog, car, fish, ball, berbanding bahasa Melayu yang menggunakan dua suku kata seperti, ku-cing, bo-la dan ba-ju,” katanya.

Begitupun kata Ruby, tidak bermakna kanak-kanak yang belajar bertutur dalam bahasa Melayu lebih lewat berkembang berbanding mereka yang memilih bahasa Inggeris.

“Kanak-kanak yang belajar bertutur dalam bahasa Tamil lebih banyak menggunakan gabungan suku kata dan percakapan mereka tetap berkembang seiring usia. Ini semua adalah fitrah manusia.

“Tidak adil untuk menyalahkan bahasa dan mengatakan ia adalah punca menyebabkan anak lewat bertutur. Malah, mengatakan anak keliru bahasa juga tidak tepat sama sekali.

“Memadai sekiranya ibu bapa mengelak penggunaan dwibahasa terhadap anak yang lambat bercakap. Cubalah memahami kesukaran mereka yang perlu bekerja keras untuk ingat dan faham kosa kata kedua-dua bahasa,” katanya.

Apapun, bagi ibu bapa yang masih mahu menggunakan komunikasi dwibahasa, Ruby menasihatkan supaya dua perkara utama berikut diberi perhatian khusus.

“Pastikan anda memang fasih dan tidak kekok menggunakan kedua-dua bahasa serta boleh meluangkan masa dengan si manja melebihi tempoh anak menonton rancangan kartun.

“Sedar atau tidak, isu bahasa akan menjadi lebih rumit apabila anak mula melangkah ke alam persekolahan. Ada kemungkinan guru di tadika akan mengadu anak anda tidak faham arahan dan tidak menjawab soalan cikgu di dalam kelas,” katanya.

Panduan berdepan dengan anak dwibahasa yang lambat bertutur

- Utamakan bahasa dominan dalam keluarga. Jika ibu bapa bersembang dalam bahasa Melayu, utamakan bahasa Melayu sahaja.

- Terus sebut perkataan atau ayat dalam kedua-dua bahasa pada satu masa. Jangan sebut bahasa Inggeris sahaja, tetapi mengabaikan bahasa Melayu.

- Jika hendak menerapkan dwibahasa, ibu bapa mestilah fasih dalam kedua-dua bahasa. Jadi, ibu bapa tiada masalah untuk menggunakan ayat lengkap dalam satu bahasa. Elakkan bahasa rojak dalam satu ayat yang sama.

- Hantar ke tadika yang menggunakan bahasa dominan keluarga. Contohnya, jika ibu bapa bercakap dalam bahasa Melayu, jangan hantar anak yang mempunyai masalah bertutur ke tadika yang menggunakan bahasa Mandarin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 6:06 AM