SUAMI Norul Naziah, Abd Razak Majit ketika menunggu di perkarangan Unit Forensik Hospital Shah Alam. FOTO Aziah Azmee.
SUAMI Norul Naziah, Abd Razak Majit ketika menunggu di perkarangan Unit Forensik Hospital Shah Alam. FOTO Aziah Azmee.
Amirul Aiman Hamsuddin


Shah Alam: Jenazah sembilan sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam, tengah malam tadi, akan dikebumikan esok.

Adik kepada Allahyarham Norul Naziah Buyong, Nurul Atika, 33, berkata, urusan pengebumian semua jenazah dijangka dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini.

"Lima daripada mereka termasuk Norul Naziah, 37, dijangka dikebumikan dalam satu liang lahad.

"Sementara, empat lagi termasuk bayi berusia 10 bulan akan dikebumikan secara berasingan apabila didapati positif Covid-19 selepas ujian saringan dilakukan pihak hospital," katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Shah Alam, hari ini.

AHLI Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (tengah duduk) menziarahi keluarga mangsa kemalangan di Unit Forensik, Hospital Shah Alam, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
AHLI Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (tengah duduk) menziarahi keluarga mangsa kemalangan di Unit Forensik, Hospital Shah Alam, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Katanya, jenazah akan disolatkan di sebuah surau di Seksyen 17 dan ahli keluarga akan menguruskannya secepat mungkin yang dijangka sebelum Zuhur.

Sementara itu, jenazah seorang lagi mangsa kemalangan, Mohamad Rahimi Rolex, 27, dijangka dikebumikan di tanah perkuburan sama, malam ini.

Difahamkan, hasil saringan ke atas jenazah Allahyarham mendapati negatif Covid-19.

Terdahulu, media melaporkan Norul Naziah dan lapan anaknya iaitu Razarul Amin Abd Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah Abd Razak, 12; Muhamad Aizat Syazwan, 10; Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3; dan Muhammad Raid Fathi yang berusia 10 bulan.

Kejadian berlaku ketika keluarga itu bersama suami dan bapa, Abdul Razak Majit, 50, dalam perjalanan pulang ke rumah di Padang Jawa, Klang selepas menghadiri majlis kenduri kahwin saudara di Melaka.

Bagaimanapun, anak lelaki mangsa yang berusia 14 tahun terselamat kerana tidak mengikuti keluarga berkenaan.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 8:33 PM