Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Jenazah lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 62 berhampiran Banjaran Titiwangsa, Lebuhraya Timur Barat, Jeli-Gerik dekat Perak petang semalam, selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Sungai Dua, di sini, 2.50 petang tadi.

Terdahulu, jenazah bekas pensyarah sebuah kolej, Mohd Rodhi Othman, 64, dan isterinya Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59, serta anak, menantu dan cucunya, Siti Aishah Mohd Rodhi, 32, Ahmad Khomaini Abu, 32, dan Zara Hana Ahmad Khomaini, 6, disembahyangkan lebih 200 jemaah yang hadir menunaikan solat Zohor.

Kesemua jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan dengan kehadiran ratusan ahli keluarga dan saudara mara mangsa.

Dalam kejadian 3.45 petang semalam, lima sekeluarga yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza maut selepas bertembung dengan pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux.

Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada pemandu 4WD yang memandu dari arah Gerik ke Jeli, Kelantan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan dinaiki lima sekeluarga berkenaan.

Lima sekeluarga berkenaan dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah selepas selesai menghantar ahli keluarga mereka di sebuah pusat pengajian pondok agama di Kota Bharu, Kelantan.

JENAZAH lima sekeluarga disembahyangkan di Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Sungai Dua di sini. FOTO Danial Saad
JENAZAH lima sekeluarga disembahyangkan di Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Sungai Dua di sini. FOTO Danial Saad

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 3:32 PM